Ahad, Jun 16, 2013

Markah

Kita akan selalu bertemu dengan orang yang hebat yang terselindung di sebalik diri mereka yang seperti tiada apa-apa. Kita akan selalu berhadapan dengan insan yang boleh melakukan sesuatu luar dari keupayaan kita tatkala kita merasakan sudah melakukan yang terbaik. Tanpa disedari kita sudah menidakkan keupayaan orang lain dengan hanya menilai apa yang ada di luarnya dengan memberi markah tertentu sebelum memberinya peluang untuknya menampilkan potensi.

Bukankah sudah berkali-kali kita diingatkan bahawa don't judge the books by it's cover?

Saya sering mendidik diri agar tidak memberi markah sebelum apa-apa dan mengenali siapa dia terlebih dahulu supaya selepas itu saya boleh memberi markah dengan adil. Markah yang selalunya saya tidak pasti entah berapa angka yang sepatutnya saya letakkan. Semua ini pun kerana saya sendiri selalu diletakkan markah tertentu sebelum memulakan sesuatu kerja. Markah yang selalu memercikkan semangat agar saya melakukan sesuatu melampaui piawaian yang telah diletakkan sebelumnya ke atas diri sendiri. Sesuatu yang selalunya memerah tenaga dan keringat yang bukan sedikit supaya saya boleh menukar markah yang telah dipasakkan ke dalam diri, seperti ia suatu angka yang telah dizahirkan dan diadili terlebih dahulu sebelum kemampuan dipersembahkan.

Mengatasi stigma ini sebenarnya memenatkan, maka itu saya berusaha tidak melabel apa-apa sebelum mengenali dia itu siapa. Percayalah, kita akan lebih tenang dalam bekerjasama jika tidak meletakkan apa-apa bebanan yang bukan-bukan dalam diri kita terhadap keupayaan seseorang itu.

Dunia ini akan aman jika kita tidak menanam prasangka. Saya sedar disekeliling saya ada ramai insan yang awalnya telah diberi markah yang kurang tetapi mempunyai kemampuan yang berganda-ganda sifatnya. Hanya dengan bersangka baik maka kita akan menarik keyakinan dan kegembiraan dalam melakukan tugas sekaligus membentuk pasukan yang hebat. Pasukan di mana ahlinya boleh menyelesaikan banyak perkara dengan hanya memberi satu arahan yang boleh difahami dengan mudah.

Ada kalanya saya senang menangkis tanggapan-tanggapan awal seperti ini di meja makan, dengan bercawan-cawan air atau berjam-jam sembang bagi memastikan saya tidak tersilap memberi markah. Ada kalanya saya mengambil ruang yang terhidang dengan memulakan perbualan klise sebagai memecahkan tembok yang mendindingi perhubungan. Dengan berlapang dada, perbincangan seperti ini akan lebih banyak membuang prasangka. Apatah lagi saya jenis tidak gemar mendengar sok-sek-sok-sek tentang perkara yang boleh menambah kecelaruan sikap.

Semua ini berpunca dari hati. Jika tidak mampu dicuci sebersihnya, berusahalah untuk mencantumkan hati itu dengan hati-hati lain supaya terarah ke matlamat sama. Nantinya kita akan melihat betapa ia telah dicuci tanpa kita sedari.

Khamis, Jun 13, 2013

Roket

Terlibat dalam pengkajian manuskrip, transliterasi khazanah keilmuan lama dan penerbitan semula tulisan Jawi seperti memberi nyawa kepada kehidupan saya yang sedikit statik beberapa tahun kebelakangan ini. Pernah dahulu saya berangan untuk mempelajari semula hikayat lama sehingga saya membeli apa sahaja hikayat yang terlihat di hadapan mata. Tetapi usaha membacanya seperti melepaskan batuk ditangga. Sentuh muka hadapan, selak helaian dalam kemudian diletakkan kembali ke rak dengan niat suatu hari nanti akan dibaca semua buku-buku ini.

Suatu hari yang entah bila kan menjelma.

Timbul juga kecemburuan kepada mereka yang boleh membaca dan mengulang bicara buku hikayat lama yang telah di bacanya. Ini ditambah-tambah lagi dengan kemampuan mereka mencerna tulisan terhadap bacaan-bacaan ini menjadikan saya bertambah-tambah geram, kembali melihat buku di rak, menyentuhnya dan berazam untuk membaca semuanya suatu hari nanti.

Suatu hari yang entah bila kan menjelma.

Niat di dalam hati sangat jelas, suatu hari akan dikhatam buku-buku ini, menjelajah ke alam Melayu dengan mengambilkira hikayat ini semuanya berkaitan dengan alam dan pusaka Melayu. Apabila berfikir yang tugas ini akan mampu dilaksanakan bila menjadi sarjana atau pengkaji, maka saya pun berusaha membuat kajian dan bacaan sendiri. Namun sejauh manalah usaha itu menjadi kalau atas ikhtiar sendiri.

Suatu hari itu mengambil masa juga untuk dijelmakan. Kini ia sudah menjadi realiti. Nah, di sini saya diberi seluas ruang untuk mengembara seluas samudera atau menyelam dalam ke dasar lautan untuk menikmati semua khazanah yang ada. Ruang terbuka luas kini. Terbuka luas. Manuskrip lama terbentang di hadapan mata, tulisan demi tulisan di minta untuk di terbitkan, suntingan transliterasi berjalan pantas, penganjuran program yang memerlukan ketelitian dan pembacaan silih berganti sebagai rujukan  karangan menjadikan hidup terisi dengan buku dan ilmu. Maka hidup yang statik suatu ketika dahulu seperti roket yang sedia untuk di lepaskan ke bulan.

Terima kasih untuk ruang dan peluang ini. Doa itu memang kuasa yang ajaib

Rabu, Jun 12, 2013

Menggilap permata

Saya sering membayangkan sesuatu akan berlaku pada diri sendiri yang kemudiannya menyebabkan diri saya bertukar 180 darjah. Sama ada dari segi kerjaya, kehidupan atau pun perjalanan hidup. Tetapi saya juga tahu ia tidak akan berlaku tanpa daya usaha sendiri. Doa memang penting tetapi tindakan tidak dihalakan ke arah matlamat memang menjadikan bayangan itu sekadar khayalan.

Namun begitu, 'sesuatu yang akan berlaku' itu biarlah bukan dari peristiwa yang mendukacitakan atau peristiwa pelik dan ganjil. Malah kemungkinan berlaku pun entahlah, tak pernah ada statistik untuk itu saya kira. Jadi, saya buangkan sahaja bayangan atau angan-angan itu, kembali berpijak ke bumi yang nyata. Tak usah mengharapkan sesuatu tetapi berusaha menghasilkan sesuatu.

2013 saya kira membawa perubahan yang baik untuk diri. Selepas pindah ke rumah yang diusahakan atas titik peluh sendiri (ah, bukan menukanginya sendiri pun) pada penghujung tahun lalu, saya bertukar kerja ke bidang yang sungguh berbeza dari apa yang saya kerjakan sebelum ini. Ini kerjaya ketiga dalam hidup. Memasuki bulan ketiga, saya sudah mula nampak perkara yang tercicir sebelum ini - yang kabur, yang menjadi gelap - sudah kembali memancarkan sinarnya. Banyak yang perlu saya pelajari dengan pantas, misalnya membaca banyak buku bagi menambah ilmu dan kefahaman. Dari sehari ke sehari saya menemui benda-benda baru yang menarik dan mengujakan, menjadikan saya kian seronok dan jatuh cinta. Jatuh cinta setiap hari.

Semoga ia adalah apa yang saya cari selama ini. Inilah masa menggilapnya semula.


Ahad, April 14, 2013

Zaman edan

Bagi anak muda yang tidak pernah merasa suasana pilihanraya atau masih terlalu kecil untuk memahami PRU, kali ini pasti mereka dapat melihat segala yang ditelanjangkan dari diri para pemimpin, ahli politik dan mana-mana figura yang dilihat diam dan membeku suatu ketika dahulu.

Empat tahun yang lalu, pilihanraya cuma bersumberkan blog. Empat tahun sebelum itu masih lagi dengan medium tv dan radio. Telefon genggam masih belum meluas. Masing-masing memendam perasaan dalam diri. sesekali disampaikan dalam risalah yang terhad sebarannya. Kali ini Fb dan twitter, youtube dan live streaming mengambil peranan. Teknologi banyak memudahkan, juga mempercepatkan sampainya berita kotor dan fitnah ke pendengaran kita. Perasaan dilepaskan sebebasnya. Tiada tembok perbezaan antara pahala dan dosa. Mengapa kotor dan busuk ini menjadi pilihan dan bahan kempen? Kerana itu adalah politik Malaysia. Politik zaman edan.

Bagi yang pernah merasa suasana pilihanraya di luar negara, mereka menceritakan kematangan berpolitik di negara bukan Islam yang lebih rasional. Mereka membicarakan persoalan rakyat dengan tuntas, memilih untuk mengenepikan agenda peribadi dalam setiap tindakan. Kita tetap memilih berbalah dan bergocoh, memalukan lawan dan menuturkan yang batil. Politik jenis apakah ini wahai pemimpinku?

Kita yang di luar ini, dengan kuasa satu undi, pilihlah pemimpin yang benar-benar boleh mendokong kita. Apakah kita senang dengan pemimpin yang memutar belit dan berjanji palsu, atau menjanjikan segala bulan dan bintang untuk kebahagiaan kita? Akhirnya nanti, ke mana arah negara yang kita diami ini? Maju kehadapan atau terus mundur kebelakang dengan akhlak yang diinjak-injak?

Seorang rakan secara berseloroh memberi amaran santun - jangan terlibat dengan politik jika tidak dalam sepuluh tahun nanti akan jadi bekas kawan.

Inilah dia politik zaman edan.


Jumaat, Mac 22, 2013

Mari baca

Melihat bagaimana sebuah tulisan boleh menjadi karya yang mempengaruhi dan mengesankan, saya teringat kepada sebuah forum di Rumah Pena tahun lalu yang berjudul Buku Yang Menggugah Massa. Ahli panel membentangkan - kepada hadirin yang kurang 5 orang - bahawa karya-karya itu dianggap besar dan menggugah jika ia memberi kesan yang mendalam kepada pembacanya.

Mutakhir ini, bersama teman-teman dalam TFTN, saya dibawa terbang ke alam pembacaan pelbagai dan tersendiri. Daripada saya, mereka mendapat buku seputar sastera. Daripada mereka, saya menerima bacaan di luar kotak. Kebanyakannya sedang belajar - sama ada diperingkat sarjana muda, sarjana dan PhD - sering menghulurkan buku atau membawa bicara yang mencerahkan. Ada-ada sahaja perbincangan yang membawa kita berfikir tentang keberadaan diri kita. Apatah lagi , matlamat dalam TFTN sendiri menghapuskan stigma kasta dalam sekolah. Semua mempunyai potensi dan boleh berjaya jika diberi peluang sama rata. Ini sekaligus menjadikan saya berfikir dan bermuhasabah terhadap proses kreatif sendiri. Apakah yang terbaik untuk saya tuliskan? Apakah tulisan say aitu benar-benar dinikmati dan di fahami?

Kesibukan saya dalam TFTN memang menjadikan pembacaan perlahan tetapi saya percaya kualiti lebih penting dari kuantiti. Bacalah, kita akan menjadi lebih pandai dari sebelumnya!

Orang miskin harus ada, itu perlu dalam masyarakat. Asal dia jangan meminta-minta dan tidak mengganggu siapa-siapa - Multatuli (dalam Max Havelar)

#TFTNmembaca

Khamis, Mac 14, 2013

Baik hati

Suatu pagi di jalan yang sesak dengan kenderaan, saya di belakang sebuah bas berhenti-berhenti. Pemandu itu tidak perasan agaknya yang pintu belakang bas yang menutup enjin terbuka, membiarkan badan enjin terdedah dan pintu terbuka luas ke atas. Saya menjarakkan kereta, khuatir jika berlaku apa-apa sambil memikirkan apakah yang menyebabkan itu berlaku. Pemandu terlupa menutupnya selepas pintu dibuka pagi tadi? Atau penguncinya tercabut?

Melewati sebuah gerai makan, bas berhenti dan tersangkut-sangkut disebabkan lampu merah. Seorang lelaki di gerai, berbaju lusuh, berseluar pendek, kurus, tinggi, berjambang dan tidak terurus duduk memerhati kenderaan sambil sebatang rokok terselit di tangan kanannya. Selalu saya memerhatikan dia mundar mandir saban pagi dipinggir jalan, sekejap menghala ke pekan, sekejap pulang entah ke mana.

Lelaki itu, memandang bas dan pintu terbuka. Dia bangun menuju ke bas lalu mencapai pintu dan menutupnya denan tangan kiri sambil mulutnya bercakap entah apa-apa. Kemudian dia kembali ke tempat duduk dan menyambung pandang kepada kenderaan yang beratur di hadapannya.

Dunia ini ramai orang baik hati. Kita sahaja yang selalu bersangka buruk. Perjalanan saya selepas itu dibaluti dengan kelegaan dan rasa bersyukur atas usaha lelaki berbaju lusuh itu.

Jumaat, Mac 01, 2013

Selepas setahun, selamat utangtahun

Kami dipertemukan dalam satu aktiviti yang tidak formal. Kemudian berhubung menerusi emel apabila ada sesuatu keperluan. Facebook belum lagi wujud, malah kami pun tidak langsung mengetahuinya. Oleh itu, kami tidak saling mengenali dengan akrab akan diri masing-masing. Sekadar di pemukaan.

Kami juga jarang bertemu. Sesekali berjanji, dapatlah duduk bersama sambil mencicip secawan kopi dan sepotong kek. Itu pun tidak lama, di sela keripuhan kerja dan ahli yang tidak lengkap. Terkadang seorang tiada,di waktu lain dua tiga orang pula berhalangan. Tetapi itu lumrah apabila semua sudah bekerjaya.

Suatu hari kami bertiga menetapkan waktu. Masing-masing dari arah berbeza, mengejar tren yang sesak selepas waktu kerja. Perbualan melampaui Maghrib dan kami solat bergilir-gilir. Ada sesuatu yang dibicarakan ketika itu tetapi saya kurang jelas oleh kerana letih mengejar tren dan bunyi bising yang menganggu. Beberapa hari kemudian, saya diberitahu hasrat itu dan tanpa berbelah bahagi saya menyokong.
Sambil itu saya menyuarakan pandangan hasil dari pengalaman terlibat secara langsung dalam aktiviti persatuan dan badan bukan kerajaan, serta permintaan saya sekiranya memang benar mahu menjadikan ia suatu kenyataan. Mujur, ia tidak menerima bantahan.

Kemudian nota pertama keluar di facebook pada 1 Mac 2012. Menariknya, nota ini disambut oleh anak muda yang jauh di UK, masih belajar dan sungguh bersemangat. Mereka mengatur aktiviti, dan selang 16 hari kemudian mereka berjaya melaksakan program di Warwick University. Hasil sumbangan mereka gunakan untuk membeli domain name dan membangunkan laman web pertama TFTN.

Ini bukan cerita ajaib, atau kisah penuh mistik dan misteri. Ini kisah kami, kisah Teach for the Needs (TFTN) yang terlahir dari kesedaran guru muda melihat ketidakseimbangan pendidikan di kalangan murid di sekolah. Awalnya kami memandang kepada empat perkara ini: (a) murid kelas corot Tahun Enam (akan mengambil UPSR), (b) anak yatim, (c) pendapatan keluarga tidak melebihi RM 800 sebulan serta (d) berkeinginan untuk berjaya; tetapi ramai yang mahu menyumbangkan khidmat bakti, melampaui jangkaan kami. Lalu menerusi expansion program, selepas setahun TFTN berada di Gopeng, Kuantan, Klang, Tambun dan Damansara. Duta (Guru) di sekolah juga bertambah diseluruh negara.

Expansion program menjadi medan sukarelawan bukan guru terlibat dalam ruang pendidikan. Mereka dengan kemahiran yang ada berada di rumah anak yatim (RAY) bagi mengajar atau bercerita atau mengajak bermain atau sekadar berbual-bual bagi membuka halangan yang ada pada diri anak yatim ini. Halangan ini menjadi satu masalah kepada anak-anak yatim ini untuk membuka mulut misalnya, dan sukarelawan ini sedar ia adalah satu perkara yang terhasil dari kekurangan yang terdapat di RAY terbabit. Lalu dengan inisiatif sendiri, mereka mengatur acara, mengumpulkan buku dan mengajak teman-teman datang pda hari biasa melakukan self-coaching atau personal tuition. Nah, itu usaha dan pilihan mereka sendiri. TFTN hanya membuka ruang, dan ruang itu memberi peluang kepada sukarelawan mencurahkan bakti.

TFTN tiada platform, tiada pejabat dan tiada sumber kewangan. Kami bermula dengan kosong. Kosong segala-galanya. Dari situ, menerusi pengalaman yang sedikit, bersoal jawab dan bertanya kepada yang lebih memahami, kami tebalkan muka dan tabahkan hati untuk bergerak perlahan lahan. Kami berusaha mencari Duta,menambah sukarelawan, mempromosi aktiviti, membuat kutipan derma, emel yang tidak putus-putus dihantar dan perbincangan setiap waktu. Ruang pertemuan kami hanyalah di Facebook dan WhatsApps. 24 jam berbincang, bergaduh, berselisih faham tetapi kemudian ketawa kembali. Semuanya kerana TFTN.

TFTN kini sudah berusia setahun. Sudah pun sah di sisi undang-undang untuk bergerak. Tanggungjawab kami kian besar dan berat. Satu demi satu permintaan mendatangi kotak mel, menyatakan betapa anak mereka lemah dan perlu bantuan, anak dipinggirkan guru kerana selalu tidak siapkan kerja atau ibu bapa yang tidak mempercayai anak mereka menghadapi dyslexia. Itu belum lagi kisah seputar dunia pendidikan yang bermacam ragam. Kami melihatnya dengan risau, tetapi kami tahu inilah cara yang boleh kami lakukan sambil sesekali berusaha menghantar pandangan di media agar suara kami di dengari dan usaha kami di pandang.

TFTN yang tidak punya sumber kewangan berharapkan kepada sumbangan orang ramai. Kami membuat kutipan derma menerusi jualan badge, garage sales, jualan t-shirt dan projek khas witamin untuk anak yatim. Ada yang memandang seornag usaha kami mengutip derma. Mereka meminta agar kami lebih sopan, menuruti cara orang -orang tertentu yang katanya lebih bersopan dalam meminta. Kami senyum dan kemudian menggeleng. Ada perkara yang kami setuju untuk tidak bersetuju. Isu derma juga menjadi satu perkara yang saya tekankan sebelum supaya ia tidak menjadi suatu yang bersifat populis, sebaliknya dipenuhi rasa seronok dan penuh kesyukuran, yang melibatkan semua orang dan sesiapa sahaja dengan sukarela menderma.

Selalu saya tanyakan kepada dua penggerak awal ini - apakah mereka jangka TFTN akan menjadi seperti ini suatu hari nanti? Mereka tidak percaya, tetapi saya sangat percaya. Cara kerja kami menjadikan itu semua suatu kenyataan. Dan saya berbangga serta terharu menjadi antara penggerak awal TFTN mestipun ia memakan banyak ruang masa kami. Tetapi kami seronok.

Selamat ulangtahun pertama, TFTN. Semoga Allah mengurniakan kekuatan kepada kita untuk lebih keras berusaha dan bersatu tanpa rasa jemu atau penat.


0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...