Khamis, Februari 15, 2007

Buku : Di Hadapan Pulau

Akhirnya saya berjaya menghabiskan bacaan novel A.Samad Said ini. Di Hadapan Pulau tidaklah setebal Salina tetapi memakan masa kerana saya berhalangan yang macam-macam setiap kali memegangnya.

Awalnya saya beli kerana – mungkin kerana Pak Samad - kerana saya tidak begitu meminati cerita tentang perang. Saya paksakan membaca dalam usaha meneliti dan mengetahui isinya. Namun kisah di dalamnya benar-benar lain dari jangkaan.

Ia bukan sebuah novel tentang perang yang biasa saya temui. Ia tentang pengalaman, penderitaan, kelaparan, kegusaran, harapan, kehidupan, kematian dan cerita-cerita di sebaliknya yang tidak pernah saya fikir atau jumpa dalam mana-mana novel (setakat ini).

Di Hadapan Pulau memberikan saya gambaran paling jelas tentang suasana perang. Pengkisahan dalam wataknya membuatkan saya menghayati satu persatu perasaan mereka dan dapat menyelami perwatakan mereka.
Jelas diceritakan tentang shelter, bila seharusnya ia digunakan dan perasaan mereka yang duduk didalamnya sehinggalah siren kedengaran memberitahu waktu bahaya telah berlalu.

Juga tentang bom. Sojar mengajar penduduk cara meniarap dengan betul bila bom digugurkan. Satu pengajaran yang amat besar, yang dapat saya ambil ialah jangan terus rapatkan dada ke tanah bila meniarap. Dikhuatiri terkejut dengan bunyi yang kuat. 

Diceritakan juga tentang sojar British dan Australia, tentang masyarakat yang belum ada pengalaman perang namun tahu tentang perang (mungkin hasil pergaulan dengan teman dari seberang), kisah penduduk yang kehulu dan kehilir mencari kerja dan anak-anak yang kehilangan ibu bapa ibarat ayam kehilangan ibu.
Sehingga kini saya dapat bayangkan apa itu shelter, derita bila Jepun mula masuk dan perut yang merintih lapar. Apa lagi yang dapat mereka lakukan bila wang tidak ada guna dan barang makanan sukar didapati? Saat ini, halal dan haram bukan lagi suatu yang dikisahkan, bila monyet juga menjadi makanan. 

Mahu bercucuk tanam nanti hasilnya dicuri orang, mahu ke laut nanti di bimbangi bom gugur dari atas, orang lelaki yang sihat dipaksa menggali tanah bagi menanam mayat (tetapi bukannya kubur, sekadar menanam mayat yang bergelimpangan) manakala wanita membasuh pakaian para tentera (dan kerja-kerja sampingan yang harus difahami sendiri). Tinggallah anak-anak kecil dan orang tua yang mundar-mandir tanpa tuju dengan lapar. Mereka meniti waktu mengira hari bila agaknya Jepun akan mengotakan janji demi kemakmuran Asia Timur Raya. 

Perang jelas digambarkan disini. Maksud saya awal perang, ketika British diakhir pemerintahan dan saat Jepun mula masuk menjajah. Mereka berada dalam dua situasi berbeza – British dan Jepun. Maka terzahirlah segala kekejaman dan kehidupan bertukar dalam sekelip mata. Ketika ini bayangan ajal dan keinsafan mula datang. Sama ada makan atau tidak, mereka akan mati. Mati kerana di bom atau mati kerana kebuluran.
Betapa sengsaranya kehidupan mereka selama empat tahun setengah di bawah telunjuk Jepun. Tidak dapat saya gambarkan ketabahan dan kesabaran mereka yang melalui zaman perang yang hebat ini, disaat kita dilimpahi kemewahan dan kesenangan. Apakah kita boleh jadi setabah mereka bila ditakdirkan suatu hari nanti, kita pula yang merasai perang?

Begitulah Di Hadapan Pulau yang menginsafkan. Bacalah untuk lebih menyedarkan.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

wah anda berjaya membuat saya seperti ingin berlari ke kedai buku untuk mendapatkan buku ini...

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...