Jumaat, Februari 09, 2007

Satu kesederhanaan

Secara jujur, saya tidak meminati SN A Samad Said berbanding tokoh sasterawan yang lain. Mungkin kelainan dan keunikan yang ada pada dirinya menyebabkan saya tidak berapa ‘meminatinya’ serta karyanya. Saya pernah cuba membaca Daerah Zeni ketika di tingkatan tiga, langsung kerana tidak faham atau kenaifan diri sendiri, saya ketepikan buku ini sambil merungut kerana tidak mampu membaca dengan sempurna walaupun saya sudah beberapa kali khatam Keluarga Gerila oleh Pramoedya Anata Toer biarpun tidak mengenali siapakah Pram saat itu.

Saya terlebih dahulu berkenalan dengan sasterawan lain lewat karya mereka. Misalnya Sudara oleh Arenawati, Seluang Menodak Baung oleh Shahnon Ahmad dan Imam oleh SN Abdullah Hussain atau mendownload puisi Usman Awang dari internet. Awalnya saya banyak bermesra dengan karya SN Shahnon Ahmad yang ketika itu mudah didapati, dan beliau juga saat itu sedang rancak berkarya. Malah, pernah juga bertemu dengan SN Abdullah Hussain yang saya temui di DBP, langsung ke gerai berhampiran lalu berbual-bual bersama dengan seorang rakan. Pak Samad - yang pernah saya terserempak di KL - hanya saya pandang dari jauh sahaja. Tiada niat mahu menegurnya.

Namun, saya yang mengikuti dunia pengkaryaan dengan rapat, tidak pernah ketinggalan mengetahui apa dan siapa Pak Samad, terutama ketika dia melancarkan mogok seni satu ketika dahulu. Dalam diam, saya banyak menyimpan artikel mengenai Pak Samad sehinggalah kini saya sedar yang Pak Samad ialah seorang sasterawan yang banyak mendapat publisiti berbanding sasterawan lain (jika itu boleh saya umpamakan).

Saya, dari sehari kesehari apabila ke kedai buku akan sentiasa terserempak dengan buku tulisan Pak Samad, tidak seperti sasterawan lain yang jarang saya temui. Dan entah kenapa, juga tidak seperti hasil oleh sasterawan lain, saya akan beli, tidak kira puisi atau buku kanak-kanak. Selalunya saya baca sesudah berapa lama saya perapkan di rak buku. Hingga akhirnya saya sedar bahawa yang dalam diam, saya meminati karya beliau – terutamanya puisi. Tanpa saya sedari , saya telah mengumpul banyak karya Pak Samad berbanding sasterawan lain – Pak Samad yang saya ‘tidak minati’ awalnya akhirnya bertandang ke dalam jiwa saya dengan senyap.

Awal Januari yang lalu, pesanan VCD A Samad Said – Kehidupan Seorang Seniman Malaysia tiba dari Ujana Ilmu. Saya mengambil masa beberapa minggu sebelum dapat menonton kedua VCD ini. Isi pertama membuatkan saya begitu tersentuh sekali. Kehidupan Pak Samad amat sederhana dan luarbiasa – mengatasi paras kebiasaan manusia normal. Rumahnya hanya dipenuhi dengan buku dan buku dan buku, tiada langsung hiasan dinding, perabot, bunga, gambar atau sebarang hiasan. Paginya bersarapan dengan secawan teh, tanpa vitamin, ubat atau food supplement yang lain. Bayangkan usianya yang sudah menjejaki 70 tahun masih sihat dan kuat, tiada penyakit dan gagah berjalan kaki kesana kemari, sementelahan pula Pak Samad tidak mempunyai kenderaan sendiri dan selesa dengan kenderaan awam. Saya kira ini adalah satu disiplin yang kuat, dimana Pak Samad menjaga kesihatan melalui amalan pemakanan yang baik, menjaga kecergasan badannya dengan berjalan kaki sebagai aktiviti senaman serta menjaga kesihatan mental melalui aktiviti pembacaan yang dilakukannya saban waktu.

Walaupun Salina adalah novel pertamanya dan boleh dikatakan sebagai senario sebenar masyarakat selepas perang, Pak Samad kini lebih cenderung kepada penulisan bercirikan Islam. Pembacaannya kiri tertumpu kearah tokoh Islam silam yang banyak menyumbang kepada perkembangan peradaban dunia. Dan azamnya lagi ialah – mahu belajar hidup sesederhana mungkin. Dalam fikiran saya, sederhana bagaimana lagi yang Pak Samad mahukan?

Kehidupannya mudah, simple dan sederhana. Tidak complicated seperti sesetengah dari kita dengan rutin harian yang menyesakkan. Malah, Pak Samad kelihatan selesa dan santai. Dia masih lagi aktif berkarya dan saya kira dia antara sasterawan yang giat kesana ke mari memenuhi undangan itu ini dan keluar sesekali di akhbar bagi menjawab persoalan tentang dunianya.

Itulah Pak Samad. Dia menyebabkan saya dalam diam tertarik lalu meminati karyanya dan juga kesederhanaan dirinya. Saya bercita-cita mencontohi kesederhanaan ini dan berazam merentasi ranjau dan duri yang dihadapan saya ini juga dengan kesederhanaan.

1 ulasan:

Unknown berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...