Jumaat, Ogos 10, 2007

Rezeki yang ditinggalkan

Saya sedang menunggu giliran solat Asar sambil menjaga beberapa telefon genggam dan laptop apabila dua orang yang mempunyai cocok Arab - yang saya kira pelajar - berpatah balik dari masuk ke masjid lalu menuju ke arah saya. Bukan ke arah saya sebenarnya, tetapi ke arah meja bertentangan. Di atasnya ada dua bungkusan besar plastik. Satu terisi nasi berlaukkan kari ayam yang diasing dalam polisterin dan plastik yang berlainan. Satu lagi mengandungi air nescafe dan sirap yang di bungkus dalam plastik kecil.

“Sister, can we take these foods?” salah seorang daripadanya yang berkemeja bertanya sambil menunjuk ke arah makanan tersebut.

Saya memandang makanan yang ditunjukkan lalu mengangguk.

“Sure, you can,” jawab saya ringkas.

Makanan ini merupakan lebihan menu tengahari salah satu program yang dianjurkan oleh para pelajar sebuah persatuan. Saya dijemput hadir sebagai tetamu, tetapi atas halangan kerja saya hanya tiba beberapa minit sebelum majlis berakhir. Dapatlah juga saya merasa makanan yang di sediakan, biarpun tinggal sisa. Di meja dimana saya duduk terdapat beberapa biji karipap, kuih dadar (ketayap) dan popiah yang menunggu untuk dimakan. Tetapi saya terasa tidak mampu untuk makan kesemuanya. Semangkuk mee kari cukup memenuhkan perut yang kelaparan sebentar tadi.

Pelajar yang berkemeja dan temannya yang berjubah segera meluru ke arah makanan lalu dibawanya kemeja dimana saya duduk - meja bulat yang boleh memuatkan 6 orang VIP. Kelihatan mereka berselera sungguh, atau mungkin juga lapar. Sebaik membaca Basmalah, pemuda berkemeja itu segera membaham karipap yang ada diatas meja. Dari caranya menjamah karipap, dapat saya bayangkan betapa pemuda ini sungguh lapar. Pemuda yang berjubah nampaknya masih boleh bersabar dan dengan santun mebuka bungkusan polisterin dan kari ayam serta menjamahnya perlahan-lahan.

Masing-masing makan tanpa sebarang suara. Saya yang duduk bertentangan dan semeja dengan mereka tidak dihiraukan. Saya pula memandang mereka bergilir-gilir dan terkebil-kebil. Kasihan, kelihatan mereka lapar sungguh. Setelah beberapa ketika, mereka memandang ke arah saya. Mungkin perasan yang saya kehairanan melihat mereka. Saya mengambil peluang bertanya, setidak-tidaknya sekadar berbasi-basa.

“Where do you come from, brother?”

“Algeria.”

“Both of you?”

“Yes.”

Saya membayangkan mereka ini – dua orang pelajar antarabangsa – kelaparan. Mungkin secara kebetulan mereka lalu di kawasan masjid (kerana program ini di jalankan di Auditorium sebelah masjid) dan ada pula makanan yang lebih. Bagus juga kerana mereka memintanya kerana makanan yang berlebihan ini sebelumnya telah diberi kepada pelajar yang lalu lalang. Kalau tidak habis, memang sudah menjadi amalan untuk disedekahkan. Lebih baik dari dibuang atau dibiarkan begitu sahaja. Tetapi ini lebihan yang memang tidak dapat diberi kepada yang lain.

Saya mengandaikan mereka ini mungkin kehabisan duit atau terpaksa berjimat dengan duit yang ada atau belum dapat peruntukan biasiswa / pinjaman atau mungkin juga bantuan belum tiba dan sebagainya. Pelbagai kemungkinan lain hadir. Mungkin mereka menyimpan untuk keperluan lain. Situasi ini mungkin sama sahaja, kepada pelajar antarabangsa atau tempatan, dan sama seperti apa yang saya alami dahulu.

Memang ada masanya bantuan pinjaman yang diterima perlu diperuntukkan untuk keperluan lain. Menjadi biasa pula bila awal semester berbelanja mewah dan dipenghujungnya berlapar dan sekadar makan makanan segera seperti maggie. Saya dahulu memilih cara yang berbeza. Saya mengaktifkan diri dalam aktiviti persatuan. Biasanya kami mengadakan kursus, program, camping, dan macam-macam lagi lagi aktiviti sehingga menjadi terlalu sibuk disamping kuliah. Selalunya, aktiviti pelajar dilengkapi dengan ‘agenda makan-makan’ sekaligus membantu saya menjimatkan beberapa bahagian duit pinjaman untuk keperluan lain.

Saya beralih ke meja sebelah. Nampak pula saya menganggu dua pelajar ini makan. Dari jauh, saya mengandaikan yang macam-macam. Dahulu, sering juga saya melihat teman-teman yang sekadar mengambil sikap sedarhana dalam perihal makan. Kalau pelajar tempatan sendiri sudah berkeadaan begitu, bagaimana pula dengan pelajar antarabangsa ini yang ada diantara mereka hadir dengan perbelanjaan sendiri? Memang cukup mengkagumkan andai mereka hadir disini atas urusan ilmu, hidup pula keseorangan ditanah orang dan dengan budaya asing. Segala-galanya perlu di uruskan sendiri.

Saya tidak dapat menunggu mereka kerana teman yang dinanti sudah tiba untuk giliran saya bersolat pula. Saya meminta izin untuk pergi sambil berpesan supaya mereka membersihkan meja dan membuang plastik yang bersepahan.

“Don’t worry. We can do for you,” kata si baju kemeja.

“Thank you,” balas saya.

“Thank you also. You are very kind to us. May Allah bless you,” katanya lagi.

Saya mengangguk. Dia bertanya lagi sama ada saya ini pelajar atau tidak. Saya terangkan secara ringkas, sebelum melangkah ke masjid untuk solat Asar. Dalam hati, saya bersyukur. Setidak-tidaknya ada kebaikan yang terhasil dari lebihan makanan yang di tinggalkan tadi.

Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...