Jumaat, Oktober 26, 2007

Kiriman jauh

Rabu 28 Ramadhan 1428H.

Jam di dashboard menunjukkan waktu Maghrib semakin hampir. Suasana bertambah gelap. Kiri dan kanan hanya pokok getah teguh berdiri. Sesekali berselisih kereta dan lori, terasa silau menangkap kuat pada mata. Pantas sekali mulut menyumpah, berselang seli dengan istighfar. Hujan lebat mencurah. Masalahnya, curahannya tepat pada cermin depan. Wiper pada tahap maksimum nyata tidak membantu mempermudah perjalanan. Beberapa kali kereta memasuki lorong bertentangan. Hampir juga terbabas. Saya menarik nafas dan sabarkan diri. 10 minit lagi tibalah ke kampung. Apa yang dikejarkan sangat dalam lebat begini.

Tiba di kampung bila masing-masing baru sahaja bangun dari meja makan. Tidaklah terlalu lewat mengejar hidangan. Saya berlegar-legar melihat juadah berbuka. Adik menghampiri dan menghulur satu bungkusan. Dari siapa pula?

Saya belek kiri, kanan, atas, bawah, depan dan belakang. Ada alamat ringkas. Hati terdetik sesuatu, bibir menguntum senyum. Bungkusan dibuka. Ada sekeping poskad dan dua buah buku. Kiriman Aidilfitri teman dari seberang Tambak - teman yang tidak pernah (langsung) saya temui. Sekadar berbalas e-mel.

Kiriman ini sungguh berharga. Jika biasanya kita menerima kiriman kad raya, tetapi pemberian buku ini adalah hadiah yang nikmatnya melampaui segala-galanya. Sejak hari itu, buku ini menemani Aidilfitri tahun ini yang hambar dan tidak meriah. Pesanan pada kad dan autograf pada buku begitu besar ertinya. Inilah hikmah persahabatan. Tidak bertemu muka, berkenalan dari jauh dan berhubungan secara maya bukanlah alasan untuk membataskan silaturrahim. Dunia ini tiada sempadannya.

Terima kasih diatas hadiah ini. Saya mahu menghabiskan bacaannya seberapa segera. E-mel anda mengispirasikan saya dalam menghadapi dunia yang serba-serba ini.

Terima kasih, sahabat!

Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...