Sabtu, Ogos 22, 2009

Marhaban ya Ramadhan

(Muhasabah diri di awal Ramadhan)

Wahai sekalian manusia. Telah datang kepada kamu Ramadhan. Bulan yang penuh keberkatan. Bulan yang difardhukan ke atas kamu oleh Allah ‘Azza wa Jalla puasanya. Di bulan itu pintu Syurga dibuka, pintu neraka Jahim ditutup dan para Syaitan dirantai. Padanya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Barangsiapa yang terlepas peluang meraih rahmat ini, maka sesungguhnya dia itu hakikatnya diharamkan dari rahmat Allah. [Hadith riwayat al-Nasaai]

Sumber

Ramadhan tiba lagi. Bagi mereka yang memang menantikan kehadiran bulan yang penuh barakah, inilah masanya. Tetapi apakah sebenarnya yang kita nantikan dibulan Ramadhan ini, sebenarnya. Persoalan ini adalah hasil dari satu pertanyaan yang saya kira bernada jahil, yang singgah di telinga minggu lalu.

"Apa bezanya sangat bulan puasa dengan bulan lain-lain. Apa salahnya kita kerja macam biasa, masuk kerja macam biasa, balik macam biasa. Kenapa nak dibezakan sangat?"

Saya diam, kerana bertentang suara dengannya memang tidak menguntungkan (ya, apa gunanya menyiram air ke daun keladi?). Saya menatap geram matanya. Jika bukan kerana saya ini perempuan, sudah saya hayun penumbuk ke mukanya. Dia bukannya tidak tahu hukum, bukan tidak kenal agama. Tetapi entah apa silapnya, selalu mempersoalkan agama yang di anutinya. Saya pun tidak pasti apa jenis agama yang ada padanya. Atau mungkin agamanya sekadar dituliskan di kad pengenalan. Na'uzubillah.


Namun, soalan bernada jahil itu menyebabkan saya memuhasabahkan diri semula. Kasihan pada mereka yang tahu tapi pura-pura tidak tahu, enggan mengambil tahu dan tidak mahu menambah ‘tahu’ dalam diri. Jika dia beranggapan setahun dua belas bulan itu sama, maka apakah yang ‘lain’ dalam hidupnya. Tidakkah dia rasa suatu kerugian tidak melalui sesuatu yang berbeza dalam hidup? Mustahil bukan jika kita memandu pada kelajuan yang sama sejak dari mula perjalanan hingga tiba kedestinasinya?


Hadith di atas sudah cukup menjelaskan apa yang ada dalam bulan Ramadhan. Mari saya rungkaikan satu persatu:

  1. Bulan yang penuh keberkatan.
  2. Bulan yang difardhukan ke atas kamu oleh Allah ‘Azza wa Jalla puasanya.
  3. Di bulan itu pintu Syurga dibuka,
  4. pintu neraka Jahim ditutup dan
  5. para Syaitan dirantai.
  6. Padanya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan.
  7. Barangsiapa yang terlepas peluang meraih rahmat ini, maka sesungguhnya dia itu hakikatnya diharamkan dari rahmat Allah.


Mereka yang mengejar kebaikan, akan berusaha melakukan perkara yang mendatangkan pahala. Berebut-rebut mengerjakan tarawikh. Berusaha mengerjakan amalan sunat. Mengejar melakukan sedekah. Bangun malam dan bermunajat. Menghadiri majlis ilmu. Membaca lebih banyak al-Qur'an dan berusaha memahami maknanya. Menelaah banyak buku agama. Bercakap perkara yang membawa kebaikan. Mengurangkan aktiviti melalaikan. Dan jangan lupa, mengajak yang lain melakukan perkara yang serupa juga satu usaha yang baik.

Jadi, apakah Ramadhan itu harus sama bagi kita? Tepuk dada, tanya iman!


.


4 ulasan:

ASaL berkata...

majoriti kita sebelum dapat melihat, begitulah sikapnya. Moga satu hari dia dapat melihat sebagai mana orang pilihan Allah melihat. Pada waktu itu, tentu dia akan berdoa, agar setiap bulan pun, Sahr Ramadhan.

Ramadhan Kareem. Selamat berpuasa.

K.H berkata...

Salam,

Pun demikian banyak aktiviti tambahan yang perlu dikejar, kerja seharian boleh dilakukan macam biasa kan?

Salam kenal.

Norziati Mohd Rosman berkata...

As, hidayah itu, Dia yang menentukan. Kita pula janganlah putus asa mendidik mereka biarpun sampai tahap hanya mampu berdoa

Norziati Mohd Rosman berkata...

Khairulhak, puasa bukan alasan

:-)

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...