Isnin, November 16, 2009

Permintaan maaf yang tidak berbalas




"Aku rasa sudah cukup tersiksa. Biarlah kali ini aku noktahkan segala-galanya disini." Dia menguis sepatu hitamnya pada rumput yang tumbuh malas dihujung kaki. Petang itu dingin, dan kami mengambil kesempatan melepaskan lelah selepas waktu kerja di sebatang pohon menghadap tasik yang damai riaknya.

"Mengapa?" Saya menoleh ke arahnya disisi, merenung cuma memahami. Namun dia tidak membalas tenungan, sekadar  membatukan diri.

“Ini kisah duka, tentang luka yang masih berdarah. Parutnya tidak mampu diubati walau dengan apa sahaja penawar yang ada didunia ini.” Tenang sahaja wajahnya, seperti tasik nan tidak berkocak. Memang ada desas desus kisah dia yang luka. Namun tidak pernah dikhabarkan dengan jelas apakah yang meracau ruang hatinya.

“Apakah sebenarnya yang berlaku?” Saya berterus terang tanpa bunga persoalan. Hati juga mengharapkan agar dia menjawab tanpa banyak bersoal jawab. Dia memanggung kepala, melihat langit biru yang sudah beberapa hari menutup mentari.

“Apa perasaanmu jika sahabat yang dipercayai, yang dikasihi, yang disenangi, pada suatu hari hilang. Ghaib?”

Saya terdiam. Cuba menyusun bait kata. Namun, apa yang harus saya bicarakan?

“Dia,” katanya, “tiba-tiba berubah laku. 360 darjah. Semalam dia girang bercerita, hari ini dia senyap. Memaku rapat mulutnya,  mengunci segala ruang bicara. Adanya dia disitu, seperti tiada. Soalan tidak dijawab. Mata menoleh pun tidak. Hati rasa tersayat. Apakah dia seorang sahabat yang ku kenal sebelum itu?”

Dia lancar berbicara. Ada getar dihujung suara yang cuba disembunyikan. Namun, saya pasti, gundah dalam hati pasti amat terasa.

“Apa silap, apa khilaf?” saya bertanya lembut, cuba meredakan perasaannya.

Dia menggeleng sambil memandang kosong kehadapan. Kacamata bundarnya yang melorot berkali-kali ke puncak hidung, ditolaknya perlahan.

“Susah. Kalau tiba-tiba dia berubah laku, Cuma satu perkara sahaja yang terlintas. Ada racun yang masuk kebenaknya, menjadikan dia hilang kewarasan sebagai seorang sahabat.”  Ah, dia terlalu berkata-kata hari ini, bisik hati saya.

“Mustahil dia diumpan racun bagi membenci seorang teman. Apa hasilnya nanti?,” balas saya cuba menduga.
Dia menggeleng. Rasanya dia cuba menahan sebak.

“Aku tidak mahu menikirkan segala kemungkinan tentang racun. Apa yang aku kesalkan ialah, sikapnya yang berubah. Sudah ku mohon berkali-kali maaf, tetapi masih juga begitu. Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak. Jadi, apa salahnya aku ini?”

“Apa benar kau tidak buat apa-apa salah pada dia?”

Dia angguk.

“Jadi, apa yang perlu kau risau?”

Kali ini dia menoleh kearah saya. Dahinya berkerut.

“Mungkin perasaan kau sahaja yang terusik, menyebabkan emosi berkecamuk.”

Dia mengangkat bahu. “Mungkin,” jawabnya ringkas.

Kami diam lagi. Kepala saya ligat berputar mencari sesuatu bagi membawa ria kepada hati yang nestapa.


“Inilah namanya cinta. Cinta seorang teman. Memang jika kita ikhlas bersahabat, perasaan sayang itu akan datang kemudian. Ikhlas dan jujur adalah tunjang yang mengikat. Ia tidak nampak, tidak boleh dinilai. Tetapi ikatan itu datang dari dalam, dari tahap hati yang sungguh halus. Jadi, bila ada sesuatu yang diluar jangka berlaku - seperti ini - maka kau jadi seperti ini. Lebih dahsyat dari sepasang kekasih yang putus cinta.

Dia senyum sinis mendengar kata saya. Kakinya menguis lagi rumput yang sudah tercabut akarnya. Nampak seperti geram.

“Aku terluka sangat-sangat.” Ada air mata bergenang dikelopak mata. Dia tahan.

“Maafkanlah dia. Mungkin dia keliru dengan tindakannya, lalu berpatah balik ibarat meranapkan ego sendiri, menjilat kembali ludah yang telah diluah. Dia tidak pasti apa dan bagaimana. Kita sendiri tidak tahu apa dan mengapa. Jadi, kau berbuatlah seperti biasa. Seperti tiada apa-apa.”

Dia menggelengkan kepala.

“Hatiku sangat-sangat terluka. Pedih. Ibarat ditusuk belati tajam di dalam hati. Aku yang mengasahnya, ku serah kepadanya sebagai pelindung, tetapai aku ini ditikamnya kemudian. Lebih busuk dari anjing yang mengigit kakiku setelah ku lepaskan ia dari tersepit.” Masih ada sebak dihujung kata-kata.

“Bukanlah memaafkan itu jauh lebih tenang untuk kita?” aku cuba mematahkan hujah ‘pedihnya’. Dia merenung kosong ke tasik. Angin bertiup perlahan menampar pipi, membawa damai pada cuaca yang dingin.

“Jangan dibiarkan dibuai perasaan. Rehatkan fikiran dengan perkara yang lebih tenang. Memang selalunya apa yang kita mahukan tidak selalu kita dapat saat ini. Dan terkadang kita harus lebih sabar dalam menunggu waktu. Hanya waktu yang boleh menjawab.”

Dia menghela nafas panjang. Beberapa ekor burung terbang rendah cuba mencecah permukaan tasik.

“Dia seperti seorang yang nampak tapi perlu dipimpin selalu. Tiada salah kita memimpinya. Tetapi bila tiba-tiba dia tersedar dan terasa enggan dipimpin, maka bukan salah kita. Dia sudah tahu memilih, sudah sedar dari lenanya yang panjang. Saat itu, biarkan dia berjalan kehadapan. Dan kita sebagai sahabat yang baik, yang ikhlas, yang jujur, usah rasa gentar dengan tindakannya itu. Dia punya hak memilih. Dan pastinya hasil pimpinan kita. Lalu, tak perlu ada apa-apa luka.”

Dia merenung kepadaku. Matanya yang berkaca sejak tadi mengempang airmata, pecah juga akhirnya. Aku tidak mahu menunggu balasan kata.

“Kau juga harus faham, menjadi kawan yang baik selalu cuba bisa menerima kekurangannya. Andai itulah kekurangannya dalam memilih dan meninggalkan, maka maafkanlah. Bukankah memaafkan itu jauh lebih tenang untuk kita?” aku ulangi lagi ayat itu, supaya benar-benar tersemat kebenaknya.

“Berbuat seperti biasa. Biarkan dia terasa dengan perbuatannya sendiri. Suatu hari nanti dia akan kembali tatkala kau megah tersenyum kerana mampu berdiri biarpun suatu ketika dahulu hati kau pedih dilukai. Bangau jauh manapun ia terbang, belakang kerbau juga ia kembali.”

Suasana sepi lagi. Hanya dedaunan pada pohon yang rendang mengalunkan irama segar alam. Bunyi kicau burung menambah rancak. Mentari yang tadinya berselindung cuba memadamkan terus sinarnya bagi malam mengambil gilir. Waktu sudah berganjak gelap dan saya sudah berkira-kira mahu pulang bila melihatkan dia diam tanpa suara.

“Terima kasih,” katanya setelah berapa lama kami senyap. Saya senyum kearahnya, sambil mengharapkan ada balasan senyuman juga, sebagai terapi duka.

“Sama-sama. Bukankah kawan yang baik harus setia mendengar?”

Dia mengangguk beberapa kali. Moga-moga hatinya masih ada rasa tenang.









2 ulasan:

asal berkata...

kwn org itu sngt sombong
udah diminta maaf eksen lagi.
ngada2.
cuba dapat kawan yg tak faham dn tak sensitif, bila tunjuk protes yg dia sedang buat salah, mintak maaf pun tak mahu.
kalau masa kita perlukan dia sangat2, itulah saatnya yang dia paling tidak boleh diharap.
kalau berjanji untuk peristiwa besar, boleh sahaja dia mungkiri dengan alasan yang sepele.
dan ego pula yg dia tu aje la yg bagus dn beretika, yg lain tak.
instict dia je yg boleh pakai instict org lain tak.
kalu kawan awk tu dpt kawan macam ni agak2 cam ne la ek dia rasa. Nak jauh hati lagi.

tapi belajarlah dengan rasa cinta, kerana cinta yg benar adalah cinta yang tidak mengharap apa-apa. meski disakiti berulang-ulang kali.

bukankah Tuhan sayang hambaNya seperti itu?

Norziati Mohd Rosman berkata...

Tak tahu nak cakap apa...

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...