Cuaca tetap panas. Penghawa dingin tidak mampu membunuh keresahan yang tidak pernah reda. Di kiri kanan jalan, masih ada insan yang bekerja, meredah kepanasan demi sesuap nasi. Rumah kedai yang berderetan memagar jalan masih tetap dengan pembeli yang keluar masuk. Pekan yang hidup, tidak mati walau matahari semakin menidurkan diri.
Lampu isyarat silih berganti merah hijau. Kereta saya berhenti betul-betul di bawah sebatang pokok yang rendang memayungi jalan. Di sisi pokok ada sebuah tokong kecil, warnanya merah, beratap zink, berdinding papan, berlantai simen. Saya benar-benar bertentangan dengan 'makhluk' kecil yang berdiri diatas ruang yang ditinggikan hampir satu kaki dari aras lantai, bersekali dengan buah nenas, oren, epal, colok, taburan kertas kecil berwarna merah dan oren yang tersusun elok sebelah menyebelah.Seorang anak muda memakai t-shirt menandakan ia pekerja bengkel kereta, berkasut sukan dan rambut rapi tersisir melangkah ke dalam tokong. Di tangannya ada beberapa batang colok. Tanpa menghiraukan hon dan kereta yang sedang beratur, dia tenang melutut dihadapan tuhannya. Dinyalakan colok lalu dicacakkan kehadapan patung. Dia menegakkan badan, telapak tangan kanan diletak diatas tangan kiri, digenggam lalu dirapatkan ke bawah dagu, kepala ditundukkan dan matanya dipejam erat. Hampir lima minit dia begitu. Berdoa. Saya kejap memerhati sambil kereta tidak bergerak langsung. Usai doa, dia bangun, menoleh ke kiri dan ke kanan, terpandang ke mata saya yang asyik merenungnya lalu dia terus berlalu. Tidak dihiraukan langsung dunia yang sedang berserabut. Saya kira dia baru habis kerja.
Saya beristighfar.
Saya teringat diri, merenung ikatan ibadah saya dengan tuhan. Telah tersedia masjid dengan ruang solat yang besar, namun berapa lama saya duduk didalamnya untuk bertemu tuhan? Sedangkan dia - anak muda itu - ruang solatnya dipinggir jalan dan tidak ada malu meminta dan berdoa.Kita punya ruang solat besar, atau surau yang indah tetapi masih mahu solat sembunyi-sembunyi. Ya, menunjuk-nunjuk itu riak tetapi, nah, bayangkan jika suatu hari nanti jika kita tidak punya ruang solat sebesar masjid, apakah kita 'sudi' solat dipinggir jalan, sujud diatas batu dan berteleku di tanah tandus, seperti teman kita di Palestina?
Andaikata suatu hari nanti semua nikmat kemewahan dan kekayaan itu dihilangkan, bersediakah kita untuk solat dimana-mana? Bersediakan kita?
* Sumber gambar dari Google
Tiada ulasan:
Catat Ulasan