Isnin, Jun 20, 2011

DOM: Seni dan sastera dalam ruang politik

Kredit foto kepada Zalila Isa yang telah diberi amaran supaya tidak mengemukakan soalan atau pulang dengan tayar keretanya pancit.

Saya dijemput oleh Sdr Lutfi Ishak untuk menjadi ahli panel dalam Dialog Orang Muda (DOM) di Rumah Pena pada hari ini, 19 Jun. Saya menolak permintaan ini asalnya, kerana menyedari masalah utama saya ialah ketidakupayaan berkata-kata secara spontan. Menulis dan berkata itu berbeza. Tetapi Lutfi menyarankan agar saya mencuba dahulu memandangkan 'kita kekurangan srikandi', katanya.

DOM bulan ini bertajuk 'Seni dan sastera dalam ruang politik'. Bicara tentang politik itu mudah, tetapi apabila melibatkan seni dan sastera, maka saya harus mengambil kira pandangan-pandangan sebelum ini akan perkahwinan seni-sastera dengan politik. Sebelum itu, saya sendiri berpendapat yang seni-sastera perlu diasingkan dan berdiri dengan sendirinya tanpa dipengaruhi politik. Sebaliknya, seni-sasteralah yang perlu bertanggungjawab mempengaruhi politik.

Ada beberapa perkara penting yang saya sampaikan:

1) Seni-sastera harus melepaskan diri dari politik
Sasterawan Negara yang pertama, Keris Mas dalam pidato penerimaan Sasterawan Negara pada 1981 sudah pun menyatakan bahawa ‘kedudukan sastera dan segala kegiatannya haruslah dikecualikan darpada kepentingan politik golongan atau politik parti’. Beliau kemudian menerangkan mengenai politik sastera dan sastera politik. Amat baik untuk kita faham keduanya. Beliau mengatakan bahawa, 'politik sastera yang saya maksudkan ialah pendirian politik terhadap sastera, dari segi polisi tentang sastera dalam hubungannya dengan kehidupan kebangsaasn. Ini berbeza dengan pengertian Sastera Politik, iaitu sastera yang diperalat oleh golongan atau parti politik.'

Saya setuju dengan pandangan Haris Zalkapli bahawa kita harus membezakan parti politik dan politik. Parti politik ialah apabila kita berdiri atas pentas parti, mewarnakan diri kita dengan ideologi parti menjadikan diri kita ini berpihak. Sikap yang harus kita ambil ialah tidak partisan (non-partisan), tiada parti, tidak meyebelahi dan tidak memihak. Oleh itu, kita boleh mengambil sikap untuk mengkritik dan mengulas tanpa ada apa-apa kepentingan pun. Label yang kita pakai (sekiranya berparti), sekadar membunuh minat pembaca kerana mereka tahu kepada siapa tulisan itu ditujukan.

Oleh itu, adalah baik untuk menulis isu politik kerana kita bebas untuk mengkritik dua pihak – pembangkang dan pemerintah. Orang politik ada kepentingan sendiri tetapi orang seni ada kesamaan antara mereka. Budayawan, karyawan dan seniman mengkagumi hasil SSB tanpa mengira warna kulit. Kecintaan terhadap seni membolehkan mereka misalnya duduk berjam-jam hanya untuk memperkatakan sebuah buku yang dibaca. Cuba kita lihat apa yang orang politik lakukan apabila bertemu. Perkara yang negatif sahaja boleh kita

2) Seni dijadikan sebagai ruang escapism untuk berhibur.
Meluat dengan suasana politik, seni dijadikan landasan untuk bergembiran dan berhibur. Seni-sastera khususnya, mula mengasingkan diri dari politik. Mereka perlu mencari sesuatu untuk membuang rasa menyampah terhadap politik yang dipenuhi janji palsu dan adu domba. Namun begitu, mutakhir ini sudah ada serpihan anak muda yang berani bergerak atas dana sendiri menghasilkan karya seni secara sendiri-sendiri. Mereka mencetak buku sendiri dan dijual kepada kawan-kawan. Filem pendek yang dihasilkan pula menunjukkan pemberontakan secara sinis terhadap masyarakat dan pemimpin. Ini boleh dikatakan suara baru dunia anak muda yang sudah terdedah dengan gelombang FB, Twitter, blog, friendster, myspace, youtube dsb.

Mereka ada banyak saluran bagi menerbitkan karya. Jika bukan dengan jalan biasa, bisa sahaja mereka menjualnya secara underground atau pun dalam talian. Mereka menggabungkan seni, sastera, budaya, mewujudkan satu identiti baru seperti apa yang dikatakan oleh SM Zakir sebagai vernakular cosmopolitan. Konsep mereka urban dan moden, elitis dan natural. Tidak ada unsur agama, budaya, adat dimasukkan. Mereka adalah satu kelompok yang membentuk acuan sendiri yang berbeza dari acuan semasa. Mereka tidak mahu menyibukkan diri dengan politik dan tradisi yang telah menyelimuti mereka sejak lahir. Mereka adalah kelompok pemberontak yang mahu suara mereka dinilai bukan berdasarkan keadaan semasa apa yang tetapi berdasarkan apa yang mereka ada tanpa ada penglibatan unsur luar.

3) Politik mengongkong SSB menjadikan ia tidak bebas bergerak
Para budayawan, karyawan dan seniman dewasa ini kelihatan tidak bebas berkarya. Mereka takut untuk bersikap kerana ditakutkan oleh undang-undang. Semakin keras undang-undang dikenakan, semakin kurang nilai karya yang dihasilkan. Oleh itu, semakin banyak karya picisan dihasilkan, filem tahyul bermaharajalela dan novel pop semakin galak diterbitkan.

Ramai pihak kini selesa play-safe, mengambil jalan selamat dalam berkarya. Tidak mengkritik terlalu keras atau menghentam secara terang-terangan. ISA dan OSA dijadikan punca ketakutan. Inipun berlanjutan dengan apa yang berlaku sebelum ini. Mengambil contoh Operasi Lalang ada 1987 dimana lebih 100 orang ahli politik ditahan dan empat akhbar dibatalkan permit. Manakala gegar reformasi pada 1997-8 menyaksikan beberapa majalah tenggelam timbul terbitannya seperti Tamaddun dan Wasilah. Ketakutan terhadap periuk nasi menjadikan karya yang menggugat semakin kurang nilainya. Kononnya kita diikatkan diberi kebebasan tetapi bebas dalam makna yang bagaimana jika kaki dan tangan diikat?

4) Seni-sastera harus keluar dari prejudism kepartian
Para budayawan, karyawan dan seniman tidak boleh berdiri atas parti politik tetapi boleh berpolitik. Misalnya apa yang SN A Samad Said lakukan terhadap PPSMI dengan berceramah atas pentas parti PAS kerana perjuangan mereka sama – menghapuskan PPSMI. Jika UMNO sendiri menentang PPSMI, saya pasti Pak Samad pun akan turut duduk semeja. Tetapi apa yang SN Shahnon Ahmad lakukan ketika menjadi ahli PAS dan menjadi ahli parlimen itu pula berbeza. Beliau sudah memilih untuk berpihak dan memakai baju parti dalam setiap langkah. Oleh itu, tiap kali beliau menulis (waktu itu) boleh kita anggap sebagai mewakili suranya dalam PAS walau pun kini beliau sudah berpatah arang berkerat rotan.

5) Seni-sastera mempengaruhi politik atau seni-sastera dipengaruhi politik
Seni dan sastera adalah perakam perjalanan politik negara. Memperkatakan mengenai seni, sastera dan budaya dalam ruang politik masa kini, ada dua konteks yang perlu kita lihat. Pertama, apakah seni, sastera dan budaya dipengaruhi oleh politik atau kedua, apakah seni, sastera dan budaya mempengaruhi politik. Apa yang jelas dapat kita perhatikan kini, politik sudah mempengaruhi seni dan sastera, menjadikan apa-apa sahaja karya dihasilkan dengan berhati-hati dan melalui jalan yang selamat. Ada batasan yang tidak dapat dilihat, yang telah ditetapkan bagi kreativiti tertentu sehinggakan seolah tidak wujud kebebasan untuk berkarya.

Keadaan ini berbeza dari apa yang berlaku ketika berusaha kearah kemerdekaan. Propaganda kemerdekaan dihasilkan menerusi karikatur, sandiwara, filem, lagu patriotik juga tulisan dalam bentuk puisi, cerpen yang mengajak rakyat untuk bersatu dan bersedia. Selepas merdeka, seni dan sastera dilihat sebagai pemangkin kefahaman rakyat terhadap agenda politik negara ketika itu yang dalam proses memajukan dan membangunkan tanah air. Maka, ramai budayawan, karyawan dan seniman khususnya dari kalangan yang berpendidikan turun padang dan berdiri di atas pentas politik untuk membantu dan bercakap bagi pihak kerajaan. Karya yang dihasilkan, cerpen dan puisi misalnya adalah menunjukkan betapa kerajaan sangat mementingkan pendidikan, pembangunan seperti pembinaan jalanraya dan sekolah, kemudahan bekalan elektrik dan air yang bersih. Dalam cerpen, watak-watak ahli politik ditunjukkan sangat bekerja keras saban waktu demi membalas jasa kerana dipilih menjadi wakil rakyat. Pegawai kerajaan pula dilihat bertimbang rasa dengan rakyat dan bekerja dengan sepenuh hati sebagai seorang penjawat awam yang berhemah. Mereka menganggap kerja yang mereka galas adalah tanggungjawab yang maha besar yang perlu dipikul dan perlu dilaksanakan demi kepuasan rakyat.

Dalam tahun 1970-an misalnya, kerajaan giat mengajurkan dan menaja pelbagai acara, sayembara atau peraduan yang bersifat seni dan sastera. Hadiah yang ditawarkan luamayan. Tetapi ada timbal baliknya pula. Kerajaan mahukan apa yang ditulis itu ada kena mengena dengan kerajaaan, atau dalam bahasa kasarnya mempunyai unsur mengampu, bukannya mengkritik. Ketika itu, seni dan sastera semakin dilihat dipengaruhi oleh politik dan terpaksa mengikut arus politik.

Namun situasi politik yang menyebalkan sesudah itu menyaksikan seni dan sastera meminggirkan diri dari terlibat dalam politik. Seni dan sastera dipisahkan dari politik dan mencari tapak untuk berdiri atas kaki sendiri. Ia tidak lagi dianggap penting dan berupa hiburan semata-mata. Seni dan sastera dijadikan alat untuk membuang rasa meluat, menyampah dan rasa kelakar terhadap badut politik yang seperti sarkas. Seni dan sastera menjadi hiburan yang menggembirakan menerusi karya ringan dan picisan. Politik bukan lagi medan serius, oleh kerana msyarakat sudah menyampah dengan politik, maka mereka mengambil seni dan hiburan sebagai medan membuang rasa meluat itu. Seni dan sastera dijadikan alat untuk berhibur dan bergembira, bikin senyum dan suka, buang masalah dan hiruk pikuk dunia.

Oleh sebab itulah, filem yang ditayangkan tidak lagi berunsur mematangkan atau mendewasakan atau berunsur serius tetapi dipenuhi tema tahyul, semi porno, keruntuhan akhlak dan gangsterisme. Sesekali apabila filem yang baik dikeluarkan, misalnya 1957 Hati Malaya, tiada sambutan diberi kerana ia ‘tidak menghiburkan’.

Dari segi penulisan pula, timbul apa yang dipanggil novel pop, yang merupakan bacaan ringan berkisar kisah cinta disulami unsur kemasyarakatan. Kurang sekali (bukan tiada langsung) dapat kita lihat karya yang benar menggigit sebagaimana dahulu dihasilkan oleh Affandi Hassan, Usman Awang. Oleh itu, ada yang mengaitkan ini dengan penganugerahan SN yang begitu jauh jaraknya antara satu sama lain (SN Anwar Ridwan dan SN Kemala adalah terkecuali).

DOM ditutup dengan soalan terhadap kurangnya keprihatinan karyawan terhadap isu semasa, misalnya peruntukan MASTERA yang dipotong. Karyawan kelihatan sangat minat dengan politik dan mengkesampingkan isu lain yang tidak kurang hebatnya. Saya menjawab, bagaimana boleh kita mengetahui sesuatu itu besar atau kecil jika akhbar arus perdana saban waktu memaparkan berita politik dan propaganda parti sebagai berita utama, sehiggakan kisu berkaitan masyarakat diketkepikan dan diberi ruang kecil sahaja.

Acara pun tamat dan setiap panel dihadiahkan senaskhah terjemahan The World Is Flat ihsan ITNM serta token. Dunia Sama Rata - yang selalu saya belek dan renung dari jauh akhirnya masuk ke dalam rak buku saya. Membaca sepintas lalu muka surat pertama dan kedua, sangat menarik sekali kupasannya Thomas Friedman sehingga memaksa saya berjanji untuk segera menamatkan buku ini.

Terima kepada DOM dan Pena yang memberi peluang dan Lutfi yang membuka ruang. Terima kasih daun keladi, kalau mahu jemputlah lagi :-)

4 ulasan:

Isma Ae Mohamad berkata...

Saya takut nak ke pentas bukan sebab tak pandai berkata-kata, tapi saya hanya tahu kecek kelate saja..haha

Norziati Mohd Rosman berkata...

Bau budu....hehe..

Tanpa Nama berkata...

Politik dalam makna mudahnya adalah mencari pengaruh untuk sesuatu matlamat. Bukankah 'bersastera' itu untuk mencari pengaruh untuk sesuatu tujuan? Jadi adalah membuat kerja yang sia-sia sahaja jika 'bersastera' tidak berpolitik... shabisu

mohamad kholid berkata...

sastera itu seni, kita perlu bijak menafaatkannya untuk apa juga tujuan kita - politik atau apa saja

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...