Selasa, Oktober 07, 2014

Ada soalan?

Sebelum ini, amat membingungkan bila aku diberitahu yang 'kamu tidak digalakkan bertanya soalan, sebaliknya simpan soalan itu untuk dijawab sendiri.'

Nampak tak logik. Kalau tak faham, kenalah tanya soalan. Kalau tak boleh tanya, memang tak faham-fahamlah jawabnya.

Namun aku tahu, pasti ada sebab mengapa. Jawapan kepada kenapa tidak diberikan, kerana nak bertanya kenapa tidak boleh bertanya soalan pun tak boleh / tak tertanya. Lama-lama, aku jumpa jawapannya sendiri. Maksudnya, kita boleh cari jawapan kepada soalan itu jika kita mahu dan rasakan perlu, jika ia penting dan jawapannya kita memang perlu tahu.

Hidup dalam generasi Y - generasi yang banyak bertanya (WHY), bila dilihat-lihat bukanlah dengan niat bertanya. Selalu kita dengar soalannya sangat tak relevan dengan topik, jauh tersasar dari fokus perbincangan, menampakkan si penyoal tidak faham pun dengan apa yang bincangkan ketika itu. Lebih teruk, soalan ditanya bertujuan melekehkan dan merendahkan ilmu orang yang ditanya, dengan tujuan mendatangkan malu dan menduga betapa dalamnya ilmunya. Bayangkanlah jika yang ditanya itu adalah seorang guru besar, ilmuan yang sudah berdamping dengan buku bertahun-tahun, hafal semua ayat dalam Qur'an dan hadis dibicarakan dan dibahas dengan dengan baik. Siapakah kita - si ikan bilis yang cuma menduga lautan dalam? Sedangkan sebelum itu kita sudahpun lemas dalam lautan ilmu sang guru. Maka adilkah bertanya?

Terkini, ketika cuti Aidil Adha, dalam rancangan Salam Baitullah (yang disiarkan ketika setiap musim haji), pengacara membacakan satu soalan yang dikemukakan dari FB. Soalan itu berkenaan dugaan syaitan terhadap manusia. Ustaz memanjangkan soalan, katanya, pernah dia mendapat soalan yang lebih jauh dan menyimpang. Bunyi soalan itu, jika syaitan menyesatkan manusia, kenapa kita tidak bersama-sama bersolat hajat mohon kepada Allah agar syaitan bertaubat dan tidak menyesatkan manusia. Sebegitu jauh perginya, soalan yang tidak perlu ditanyakan jika faham betul-betul hal agama, yang ini sangat asas.

Mereka tak tahu, jadi perlu bertanya. Memanglah kalau tak tahu kena bertanya, tetapi bertujuan memahamkan, bukannya mempersoalkan atau semakin membingungkan diri. Hal ini sama juga dengan tuduhan bahawa nak mengajar kena guna bahasa yang mudah difahami oleh semua orang. Satu fakta yang selalu kita terlupa aau buat-buat lupa ialah ilmu itu tinggi sifatnya, maka kita harus meninggikan diri kita untuk mencapai takah ilmu, bukannya merendahkan tahap ilmu supaya boleh difaham hatta oleh bayi sekali pun.

Oleh itu, sebelum bertanya, fikirlah dahulu soalan kita. Tulis dahulu soalan tersebut di atas kertas, baca dan renung dengan teliti. Jawapannya akan kita dapat bila kita mencari dan merenungi. Dapatan dari renungan itulah yang sepatutnya dikongsikan dengan sang guru, yang jika dia tidak setuju atau salah, dia boleh membetulkannya. Secara tidak langsung, dia menjawab persoalan-persoalan yang masih tergantung tanpa jawapan. Kita pun akan berfikir dan membetulkan semula fakta yang bertaburna dalam kepala dengan fakta yang baru dihuraikan. Dengan cara ini, barulah boleh mencakap HIGHER ORDER THINKING. Menggunakan otak dan akal dengan semaksimum mungkin.

Tak setuju? Tak setuju tak apa, fikirlah dahulu sebelum bertanya dan mempersoalkan.

Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...