Isnin, Oktober 20, 2014

Penindasan akademik



Pagi tadi aku dijemput menghadiri pertemuan transliterator dengan ATMA UKM. Sebelum, yahun lepas, ini aku terlibat dengan projek perumian kitab tib dengan ATMA di bawah seliaan Dr Harun Mat Piah. Atas penglibatan tersebut, aku dijemput lagi untuk sama menyertainya. Aku bawa Hanan bersama agar dapat bersama-sama dan peramaikan warga KM dalam usaha ini.

Dalam ucapan awalnya, Dr Harun berkali-kali menyatakan bahawa negara kita ketiadaan pelapis dalam bidnag filologi. Malah di Malaysia sendiri, filologi bukanlah satu bidang utama, bahkan menjadi sub bidang bagi sastera dan sejarah. Ketiadaan pelapis ini disebabkan pakar yang sedia ada telah pun bersara, dengan mengambil beberapa nama seperti Dr Abu Hassan Sham yang kini sibuk berkebun dan Dr Siti Hawa Salleh yang terkenal dengan kajian Hikayat Merong Mahawangsa. Kelompongan ini menyebabkan bidang manuskrip tidak ditekuni dengan betul oleh orang yang sepatutnya. Atau mungkin juga, pada fikiranku, tiada nilai ekonomi untuk mnenyertai bidang ini. Tidak boleh menjamin gaji besar dan tidak popular. Tenggelam dengan buku, manuskrip yang buruk dan busuk - siapa mahu?

Ketiadaan pelapis filologi ini dan kata-kata Dr Harun terus terngiang-ngiang dalam kepalaku. Tiada pelapis, tiada pelapis. Allah, bantulah aku mengisi kelompongan itu. Aku mahu menjadi pakar filologi, paling tidak pun, menekuni manuskrip-manuskrip yang terdapat di dalamnya khazanah ilmu kita yang terpendam. Bagai mutiara yang tersimpan di dasar laut.

Perbincangan seterusnya oleh Pengarah ATMA yang baharu - entah apa namanya - menampakkan sinar pada ATMA yang seperti hidup segan mati tak mahu. Dr Shukri Yeoh Abdullah yang baru menjadi Ketua Bahagian Manuskrip pula nampaknya mahu fokus pada tiga benda - hukum kanun, manuskrip dan filologi. DBP menerusi Pn Kamariah pula bersedia menyediakan ruang dan peluang, meski pun ketiadaan pakar - dengan keupayaan yang ada, misalnya seminar dan bengkel yang bersesuaian untuk melatih dan membimbing anak muda.

Dr Zawiyah, bekas Pengarah ATMA pula berharap agar ada sarjana pekerja yang berkebolehan seperti Dr Annabel yang bukan sahaja bekerja di BL tetapi mengkaji manuskrip dan menulis tentangnya. Bukan seperti penjawat awam kita yang bekerja kerana kerja, akibatnya manuskrip di muzium, perpustakaan dan arkib cuma menjadi bahan tontonan. Tidak tahu apa yang harus dilakukan dengannnya kerana ketiadaan ilmu menekuninya (atau malas?).

Perbincangan selepas itu berkisar birokrasi dalam pentadbiran UKM bagi menerbitkan buku, pertindihan dan percanggahan kuasa antara PNM-Muzium-arkib dalam hal pengkalogan, kewangan UKM yang dipotong dan mendesak serta permasalahan akademik yang tidak selesai - yang semuanya ku anggap adalah penindasan akademik yang meruncingkan.

Bila melihat bagaimana mereka berusaha mencari wang untuk mendanai projek dan penyelidikan, aku teringat Sabtu lalu ketika kami bertemu. Perbincangan tertumpu pada geran penyelidikan yang melampau di UM tetapi kerap disalahgunakan dan menghasilkan keputusan yang tidak memuaskan. Juga oleh syarat yang tidak masuk akal.  Akhirnya, sesuatu yang baik itu jatuh pada tangan yang salah, maka kemudian, dunia akademik kita tak boleh bangkit dengan baik. Seperti pokok yang tidak disiram, lama-lama kan layu dan mati. 

Inilah penindasan akademik sebenar, dan aku berada sebelah kaki di dalamnya. Tidak akan aku mengalah, malah akan aku lalui dengan darah muda yang akan memberontak. Bukan tidak pernah aku buat, malah akan aku bawa sesiapa yang ada di sekelilingku yang mahu sama memberontak. Pemberontakan ke atas penindasan akademik. Berani?

Dan sekarang, aku sedang membaca Mencari Jalan Pulang oleh Kassim Ahmad. Ketika usianya 17 tahun, dia di masukkan ke hospital,oleh kerana demam kuning. Pelbagai bentuk penindasan dilihatnya berlaku di hospital. Penindasan ini pada fikirannya tidak wajar dan harus dibanteras. Lalu dia bersumpah dan berjanji pada diri pada diri untuk menjadi seorang pengarang, yang akan mendedahkan segala kepalsuan ini kepada dunia (ms 51).

Tetapi aku belum berani bersumpah. Aku cuma mampu berjanji.

Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...