Jumaat, Julai 14, 2006

Rela ditumbuk daripada dicaci

PARIS - Misteri Zinedine Zidane masih belum telerai. Dalam komen sulung yang dinanti-nantikan sejak perlawanan akhir bola sepak Piala Dunia, ketua pasukan Perancis itu hanya menjelaskan sebahagian daripada sebab mengapa dia menghantuk pemain Itali, Marco Materazzi: Cacian kesat berulang terhadap ibu dan adik perempuannya.

Bagaimanapun Zidane tidak menjelaskan secara terperinci apa sebenarnya yang diperkatakan oleh Materazzi, yang sebelum ini bersumpah tidak pernah mencaci ibu Zidane.

Tenang dan bercakap lembut, Zidane berkali-kali memohon maaf kepada peminat, terutama kanak-kanak dalam temu bual kelmarin - tiga hari selepas kejadian ganas itu berlaku.

‘‘Apa pun, saya hanya manusia,” kata Zidane.

Pemain tengah berusia 34 tahun itu tidak menyesal dengan hantukan yang telah mengakhiri karier profesionalnya selama 18 tahun.

‘‘Saya memberitahu diri sendiri, jika kejadian sebegini berlaku, ia disebabkan ada `sesuatu’ di luar sana yang menetapkannya begitu.

‘‘Saya tidak menyesal dengan apa yang berlaku, saya menerimanya,” katanya kepada televisyen TF1.

Zidane enggan menjawab soalan tentang apa sebenarnya yang diperkatakan oleh Materazzi.

‘‘Saya lebih suka rahang saya ditumbuk daripada mendengarnya,” katanya kepada saluran Canal Plus, sambil menegaskan bahawa bahasa Materazzi ‘amat kesat’ dan dia mengulangi cacian itu berkali-kali.

Zidane dan Materazzi berbalas cakap selepas Itali mematahkan satu serangan Perancis. Beberapa saat kemudian, Zidane membongkokkan badan dan menyondol dada Materazzi, menyebabkan dia rebah di padang.

Ketua pasukan Perancis itu bagaimanaoun menegaskan, dia tidak menyesal dengan perbuatannya itu ‘kerana ia membuktikan apa yang diperkatakan oleh Materazzi adalah benar.’

‘‘Tindakan saya tidak boleh dimaafkan tetapi mereka mesti menghukum pihak sebenar yang bersalah dan orangnya ialah yang mencetuskannya,” katanya.

Materazzi pernah mengakui dia mencaci Zidane tanpa menjelaskan secara khusus.– AP

http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...