Selasa, Jun 30, 2009

Pernahkah kita

Komuter bergerak perlahan, dan kadang kala tersengguk-sengguk. Penumpang memenuhi gerabak, serba gelisah sambil menjeling ke atas - melihat peta perjalanan. Mungkin berdoa agar perjalanan dipercepat, dengan cuaca yang panas terik di luar seolah tidak menjanjikan kesudahan yang baik.

Saya berdiri di tepi tiang. Tangan kiri memegang besi, dan tangan kanan sekejap-kejap mengusik beg sandang juga beg laptop. Cuba memastikan keduanya dalam keadaan selamat tanpa sebarang tanda mencurigakan. Bahu terasa lenguh mengandar beban dan kaki pula cuba bertahan berdiri buat beberapa stesen lagi.

Di hadapan saya, menghadap ke pintu ialah dua orang anak muda. Masing-masing dengan sebelah tangan memegang tiang dan sebelah lagi memainkan kekunci telefon bimbit. Kedua-duanya berdiri berhadapan antara satu sama lain. Seorang dengan beberapa utas rantai di leher dan telinga bersubang. Seorang lagi dengan rambut berwarna perang hingga tenggelam identiti kaumnya.

Di belakang anak muda yang bersubang, berdiri seorang anak muda lain yang menyandarkan badannya ke dinding gerabak sambil tangan turut memegang besi tanda keselamatan. Dia berwajah mendung, berkulit bersih dan memegang plastik berisi entah apa ditangan. Juga bertopi kelabu dan berbaju tentera ala Hitler. Saya kesani bendera merah putih di atas saku kanannya. Segera saya maklumi dia bukan anak tempatan.

Penat agaknya menyandarkan badan, dia berpaling menghadap pintu dengan mata dalam dan redup merenung keluar cermin. Melihat itu, segera anak muda berambut perang tersenyum sambil memberi isyarat kepada kawannya yang bersubang, lalu berpaling ke belakang. Saya turut sama melihat. Di belakang baju anak perantau itu terpampang besar wajah Presiden Sukarno bersongkok, bertali leher dan berbaju tentera, wajah yang biasa di lihat. Mereka berdua tersenyum sinis, yang masing-masing fahami sendiri.

Namun apa yang menyentuh hati saya ialah tentang anak muda bertopi itu. Datangnya jauh, entah bersampan entah dengan bot. Entah datangnya halal atau dalam ketakutan diserbu penguatkuasa. Namun semangat patriotiknya di tanah orang tetap subur. Di penjuru atas kanan pada wajah Sukarno turut tercetak sepatah kata yang menusuk hati saya. Dan amat malang saya tidak ingat apa yang di tulis secara tepat, dan jika tidak kerana situasi gerabak yang penuh, mahu saja saya capai kamera yang berada di dalam beg bagi menyimpan kata yang penuh bermakna. Namun apa yang boleh saya katakan, ia hampir dengan peribahasa 'hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri'.

Ada dua perkara penting. Pertama, patriotisme anak muda bertopi itu yang tidak padam. Ibaratnya burung terbang dipipiskan lada. Walau dirantau orang, masih ada kemampuan mempamer jatidiri dan semangat nasionalisme yang kuat terhadap negaranya. Ya, pernahkah kita cuba memakai baju dengan wajah pemimpin kita terpampang besar di atasnya?

Kedua, anak muda kita itu, entah apa difikiran mereka. Saya menandaikan mereka bertiga sebaya, lalu fikirkanlah sapa yang boleh membina negara dan siapa yang bakal memusnahkannya. Bukankah nasib akan datang sesebuah negara itu dilihat pada anak mudanya pada zaman kini. Maka fikirkanlah.

Apakah kita ada rasa patriotisme seperti itu?












Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...