Jumaat, Julai 03, 2009

Tuan Maikel


Saya bukan peminat Michael Jackson. Tidak berapa tahu lagunya, tidak begitu memesrai dirinya, tidak menggemari kontroversinya. Tapi tahu serba sedikit kehidupannya. Itupun berdasarkan berita yang disiarkan di akhbar. Tetapi tidaklah percaya bulat-bulat dan tidak juga meminggirkannya langsung. Hendak percaya susah, tidak percaya apatah lagi.

Dan saya juga tidak minat menggoogle nama 'Michael Jackson' biarpun selepas kematiannya. Malah, saya tidak sedar dia meninggalkan alam ini sehinggalah diberitahu ketika sesi borak-borak selepas makan tengahari Jumaat lalu. Apa tidaknya, Jumaat saya lalu agak sibuk, tidak sempat mendengar radio, membaca berita terkini secara maya biarpun berita kematiannya sudah tersebar ke seantero dunia hatta Malaysia sendiri.

Kemudian, banyak spekulasi timbul. Di pejabat juga mereka sibuk berbicara tentang kematian Raja Pop dunia ini. Siaran berita juga akhbar tidak putus mengemaskini perkembangan terbaru dari negara Uncle Sam. Berbicara tentang Micheal memang tidakkan habis - dari kisah hidupnya yang pelik tetapi menarik, diikuti kematiannya yang tragis termasuklah berita pengIslamannya yang tidak dapat disahkan - menambah keinginan mereka untuk bercerita panjang.

Saya sendiri tidak minat berbicara tentang hal ini apatah lagi tentang orang yang sudah tiada. Kadangkala merasa yang lebih elok Michael pergi, kerana hidupnya yang cukup tersiksa dikelilingi kontroversi juga hutang keliling pinggang. Yang mana benarnya, entahlah. Dan perkara yang turut menarik perhatian ialah jawapan masih belum ditemui kepada soalan 'apakah benar dia Islam?'. Soalan ini menimbulkan polemik yang cukup hebat kerana yang bertanya juga bukan calang-calang orang - dari tuan haji kepada Tuk Siak, dari yang bertudung hingga berpakaian seksi berambut perang. Saya geleng kepala tidak mahu menjawab. Nantikanlah sahaja cara beliau dikebumikan kerana ia akan menjawab segala resah gelisah persoalan yang timbul. Saat itu nanti akan jelaslah segala kemusykilan. Lagipun, buat apa sibuk-sibuk dengan hal ini, jika diri sendiri pun belum tentu Islam dengan betul. Ya, untuk apa mempersoalkan agama orang.

Ironinya, selepas seminggu beliau pergi, belum di kebumikan pun sudah banyak berita sedih dan tidak sedap didengar timbul. Keluarga berebut harta, isu hak penjagaan anak-anak, wasiat, royalti, hutang, album, pegangan saham dan entah apa lagi. Kasihan sungguh dengan insan yang bernama Michael Jackson ini. Hidup dikelilingi populariti, disanjung masyarakat dan dunia pun belum tentu memberikan kebahagiaan rohani buatnya. Banyak wang juga harta, album terjual berjuta-juta, gambar tersiar dan bersepah di majalah dan akhbar, konsert yang dipenuhi peminat bukanlah jaminan untuknya merasa gembira atas apa yang dikecapinya.

Tanpa sedar, kita tahu yang jiwanya kosong dan terasing. Maka beliau mencari sesuatu untuk diisi. Ketika itu tersebarlah berita beliau memeluk Islam. Tiada pengesahan rasmi darinya, maka ia menjadi spekulasi yang hangat. Hinggalah beliau meninggal, tiada kepastian tentang agamanya. Namun ramai turut sama mengerti bahawa cara Michael dikebumikan sahajalah yang akan menutup segala cerita yang tidak enak.

Dan dari berita terkini, memang disahkan beliau sempat memperoleh hidayah dan hidup dibawah payung Islam tidak berapa lama sebelum kematiannya. Ini adalah kesimpulan dari berita yang mengatakan beliau akan dikebumikan secara Islam dan abangnya, Jermaine akan menerangkan kepada keluarganya mengenai pengebumian menurut Islam. Berita juga memberitahu yang Michael juga sempat 'mengamalkan cara hidup Muslim sedikit demi sedikit serta membaca al-Quran', juga 'mengakui menemui kekuatan dan kesungguhan dalam menempuh pelbagai dugaan dan rintangan dalam hidupnya'.

Mungkin Islamophobia di US yang kuat memaksa beliau merahsiakan pengISlamannya. Maka benarlah berita-berita yang tersebar sebelum ini. Yang menariknya, sebaik sahaja khabar pengkebumian ini tersebar keseantero dunia, Yahoo tidak lagi memaparkan berita Micheal di ruangan Featured atau berita hangatnya, tidak seperti hari-hari sebelumnya dimana berita tentang Michael silih berganti memenuhi ruangan News yang dikemaskini. Begitulah berat sebelahnya media barat, busuk hatinya pada Islam yang masih tidak kunjung padam. Entah apa pula yang akan dilakukan dihari pengkebumian Michael nanti.

Ketika peminatnya diseluruh dunia masih bersedih diatas pemergiannya, mungkin ini satu kemenangan kecil kepada Islam. Setidak-tidaknya memberitahu kepada dunia yang sejauh mana hebatnya kita, disanjung dan di puja dunia, belum tentu ia sesuatu yang gembira kepada empunya diri. Ada ruang kosong yang harus diisi. Dan ia perlu dicari.

Semoga berita pengkebumiannya ini mampu menyapu segala kekotoran yang ditimbulkan oleh media barat. Dan Alhamdulillah, kerana sudah jelas kini kita boleh membacakan Al-Fatihah kepada Michael Jackson.

Al-Fatihah.


.

Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...