Ahad, Julai 12, 2009

Buku : Tragedi Nadra


1.
Lama sebelum Nadra diperkatakan di media massa tatkala kematiannya di hebahkan di dada akhbar, saya sudah membaca kisah hidupnya dalam buku Tragedi Nadra. Catatan pada buku ini menunjukkan saya membelinya pada 2 Jun 2001, kalau tidak silap ketika Pesta Buku. Setahun sebelum itu, saya membaca Tragedi Nadra dari seorang kawan, yang mendapatkannya entah dari mana. Langsung pada Pesta Buku tahun 2001, terpandang sahaja buku ini di ruang pamer, saya mengira baki wang di poket - ya, masih ada baki dan wang RM 10 bertukar tangan. Menariknya, buku ini adalah cetakan pertama yang terbit pada Julai 1989.

Ketika itu masih dalam dunia baca-tulis, belum punya wang sendiri, masih berharap pinjaman dari kerajaan, maka terpaksa berjimat menanti Pesta Buku. Dan rasanya saya perlu memiliki buku ini biarpun sudah membacanya. (Perasaan 'memiliki' yang masih kebal hingga kini). Suatu kemujuran pula beberapa tahun selepas itu yang perasan yang buku ini diterbitkan kembali oleh Pelanduk Publications dalam versi kulit keras yang sudah tentu, lebih mahal.

Saya sudah lupa, entah berapa kali saya membaca Tragedi Nadra. Penulisnya, Haja Maideen berjaya menghasilkan sebuah karya yang lengkap dengan fakta yang sah, rujukan yang bukan calang-calang dan usaha beliau inilah saya kagumi sangat-sangat kerana Tragedi Nadra terhasil tanpa bantuan dari mana-mana pihak (baca: kewangan - kerana tidak dinyatakan dalam Diari Penulis yang turut sama disertakan sebagai panduan kepada pembaca).

Beliau sempat menemuramah Allahyarham Mansoor Adabi, (suami Nadra), Allahyarham Tan Sri Ahmad Ibrahim (peguam Nadra, yang namanya diabadikan di Taman Ilmu dan Budi menjadi Ahmad Ibrahim Kulliyyah of Laws - AIKOL) Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (yang dikatakan berusaha menyelamatkan orang yang dijatuhi hukuman mati), berulang-alik ke Terengganu menjejaki kampung dimana Nadra dibesarkan dan menemui kenalan serta jiran tetangga Nadra. Malah, beliau berusaha mendapatkan jadual perjalanan kapal wap di antara Kemaman dan Singapura sekitar 1950-an, keratan akhbar Belanda dan British akan liputan kes, surat-surat simpanan Mansor Adabi, minit mesyuarat, laporan mahkamah dan seribu satu maklumat lisan dan bertulis bagi menghasilkan sebuah novel lengkap dengan fakta yang saya kira, tidak patut dinamakan novel. Ia mungkin sebuah biografi, kisah hidup atau apa sahaja.

Kita akan dapat tahu, sekaligus membuat penafsiran sendiri terhadap Nadra - sama ada wajar atau tidak keputusan hakim. Kehidupan Nadra diperincikan dengan halus - bermula dari kisah ibu bapanya di Indonesia berlanjutan ke penaklukan Jepan ke nusantara, siapa Aminah dan bagaimana Nadra di bawa ke Terengganu, helah licik Locke yang membawa Aminah dan Nadra ke Singapura, perkahwinan dengan Mansoor Adabi, hasrat ibu bapa Nadra menemui anaknya, penghakiman di mahkamah diikuti rusuhan di Singapura hinggalah Nadra di bawa pulang ke Belanda.

Melayu Raya menyiarkan lukisan kartun ini pada 19 Disember 1950 menunjukkan seorang gadis dalam dilema

Membaca Tragedi Nadra saya kira suatu tragedi juga. Bagaimana kita boleh mengaitkan semangat persaudaraan dan kekitaan sesama insan yang bangkit menentang pihak yang cuba mempermainkan agama, mengecilkan hati pihak yang terbabit dengan memandang rendah keupayaan pihak yang lain. Hasilnya, rusuhan melanda Singapura, ada yang terbunuh, ada yang dihukum - di gantung, di penjara. Waktu itu, tanpa memikirkan 'kau parti apa, aku parti mana' - atas semangat berkobar-kobar menegakkan Islam, menyelamatkan akidah seorang gadis yang naif akan kehidupan, menentang hukum yang memenangkan sebelah pihak dan tindakan lain yang berat sebelah. Sentimen keagamaan dipermainkan lalu, pemerintah British ketika itu sedar (entah sedar atau tidak) - yang isu agama cukup sensitif bagi masyarakat yang mereka jajah.

Sukar sekali mengaitkan tragedi yang berlaku dengan kisah-kisah yang terjadi dewasa ini. Semangat dan sentimen yang dipermainkan pada kita seolah perkara kecil yang dipandang enteng. Soal akidah insan seagama bukan lagi perkara yang perlu diambil kira. Mungkin juga memikirkan kubur lain-lain, hukuman sendiri tanggung tapi apakah hasilnya jika tanggungjawab yang letakkan dibahu kita tatkala dilahirkan ini di biarkan begitu sahaja? Khalifah, sekadar nama?


2.
Beberapa kali selepas tamat membaca Tragedi Nadra, saya membuat rujuk silang di internet. Seingat saya dahulu, ada filem seputar kisah Nadra berjudul Jasmin 1 dan Jasmin 2 yang saya ingat turut dilakonkan oleh Rosnani Jamil. Masih kecil ketka filem ini ditayangkan dipanggung, sekitar 1980-an. Carian di Youtube tidak berhasil. Malah Google tidak banyak membantu. Stesen tv tidak lagi menayangkan, mungkin merasa ia isu sensitf. Tetapi mengapa tidak djiual secara terhad, atau dipaparkan kembali ruang bicara mengenai filem ini (jika tidak mahu menyentuh isu Nadra secara terus)?

Di mana boleh saya dapatkan salinan filem ini? Boleh bantu?


3.
Saya gemar menelusuri laman Cari Forum - banyak kisah menarik yang dikongsikan bersama. Ada seorang ahli forum tegar yang bernama iscol_klang telah memuatnaik laporan bersiri Nadra yang tersiar di Dewan Masyarakat. Satu usaha yang menakjubkan. Inilah usaha Datin Fatini Yaacob terhadap penyiasatan Nadra dan pekongsian iscol_klang. Dan ini juga wajah siri pertama Laporan Penyiasatan Natrah: Duka seorang Wanita yang disiarkan pada halaman hadapan.


Ya, kemudian saya ingat juga yang Fatini Yaacob (sekarang Datin) yang ketika itu bekerja dengan DBP membuat satu laporan bagi menjejaki kembali Nadra yang dimuatkan di Dewan Masyarakat dalam 7 keluaran / bulan pada 1989 hingga 1990. Ketika itu DM cukup masyarakat. Saya cuma membaca di perpustakaan sekolah. Dan serpihan-serpihan ingatan ini membantu saya menulis entri ini, dengan keharuan, dengan keinsafan.


.




Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...