Sabtu, Jun 21, 2014

Catatan Chennai - Sepuluh #2

Akhbar harian Chennai. Ada Salman Khan tayang badan pula

  1. Untuk menyediakan duit ke Chennai, awalnya aku sudah mengasingkan sedikit simpanan tanpa mempunyai niat untuk berbelanja. Namun begitu, simpanan tersebut telah habis aku gunakan untuk keperluan kereta, keluarga dan perbelanjaan luar jangka. Banyak yang diluar jangka. Duit yang ku harapkan akan masuk tidak dapat-dapat lagi. Tetapi aku pun tidak berharap kerana memahami kelembapan dan kesengalan mereka bekerja. Minta kita siapkan kerja bukan main, bila hantar invois bayarannya kena tunggu dua tiga bulan. Siapa mereka tak perlulah tanya.
  2. Ya, Beginilah hidup aku sekarang, sentiasa dalam kesyukuran dan usaha yang tidak putus. Namun aku berkatnya aku nikmati dengan penuh kemanisan. Kalau mah lebih, usaha lebih. Hidup ini senang sahaja. Dalam masa yang sama aku mencari jalan bagaimana mendapatkan wang saku. Sebolehnya dalam keadaan sukar begini, aku sama sekali tidak mahu meminjam atau berhutang. Apatah lagi Tokyo turut sama melambai-lambai dan menjadi fokus utamaku.
  3. Tiba-tiba sahaja aku tergerak menghidupkan Kedai Buku yang sudah senyap beberapa bulan.  Kedai Buku adalah antara cara terakhir menjana wang saku meski pun masih ada tiga simpanan yang tidak mahu aku usik. Jadi aku berhempas pulas menjual buku selama satu minggu menerusi Kedai Buku. Syukurlah, dalam tempoh tersebut aku boleh dapat lebih dari RM500. Sempat tambah stok ada Sabtu sebelum bertolak. Pesanan pula tidak putus minta carikan buku itu dan ini.
  4. Menjelang minggu terakhir di pejabat, aku siapkan suntingan 6 manuskrip dan suntingan Qalam ku hantar pada junior editor. Semoga dalam tempoh pemergian, PNM menjawab permohonan untuk pembentangan susulan dan Qalam cuma melalui proses layout. Tak angkat kepala aku dalam minggu itu, FB pun tidak ku layan. Cuma FB Kedai Buku sahaja untuk proses jual beli dan upload gambar. Sungguh nampak berkesan.
  5. Mujur juga cuti sekolah dan tanggungjawab mengajar di Fuqaha pun tiada. Maka tumpuan seratus dua puluh peratus ku beri pada kerja di pejabat. Itu pun terganggu juga dengan beberapa kerja luar yang datang tiba-tiba, tetapi boleh juga ditampung dengan kesungguhan menyiapkan kerja.
  6. Jumaat aku jumpa Arifah kerana dia mahu beli Ranjau Sepanjang Jalan dan Sejarah Melayu (Shellabear) yang kedua-duanya edisi fotokopi. Dia nak segera, tak mahu menunggu aku pulang. Dapatlah RM40 sebagai bekalan tambahan, dan terus ke Rumah Pena untuk majlis Baca Puisi. Aku tak hadiri Baca Puisi, tapi ambil pasport dan berbual dengan Bero Naga tentang rancangan mereka yang tidak berkereta ke KLIA2.
  7. Katanya, mereka berada di KLIA2 pada Ahad malam Isnin dan menunggu di sana sehinggalah boleh daftar masuk beg dan penumpang. Jadi ini cadangan bernas. Aku tak perlu minta sesiapa hantar dan ambil.
  8. Mula-mula Ju setuju nak hantar tapi nanti aku fikir susah pula nak minta orang ambil awal pagi Sabtu apabila aku pulang. Maka eloklah aku memandu sendiri ke Putrajaya Sentral dan letak kereta di sana. Caj pun murah, RM3 untuk 24 jam. Kalau lima hari tidaklah sampai RM20. Jimat belanja.
  9. Dalam tempoh tiga hari sebelum berangkat, tergerak untukku mengemas segala timbunan surat yang telah aku letakkan dalam satu kotak khas. Segala bil Celcom, penyata akaun bank Islam, Maybank dan CIMB; surat-surat berkenaan rumah, EPF, penyata honorarium, bil-bil rumah, segala resit perbelanjaan, kertas kerja, minit mesyuarat dan nota catatan semua ku asingkan dan dimasukkan ke dalam fail. Fail TFTN juga sempat ku kemas termasuklah duit dalam pegangan. Kemudian ku emelkan pada Zazren jumlah duit yang ku simpan dan ku tulis pada papan putih di atas meja. Kali ini ada sedikit kerisauan atas pemergianku. Manalah tahu pergi tak kembali seperti MH370. Namun tiada siapa tahu kerisauanku ini.
  10. Maka minggu yang sibuk sebelum berangkat pun berakhir. Tinggallah Sabtu dan Ahad untukku menyelesaikan keperluan diri dan segala urusan rumah yang patut diperhatikan. 

Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...