Selasa, Jun 17, 2014

Catatan Chennai - Sepuluh #1


Pasport dan rupee. Buku yang ada cuma tentang Agra dan Delhi

1.      Aku akan membuat catatan ringkas perjalanan dan pengalamanku di Chennai. Ada yang telah ku tulis, ada yang tersimpan dalam kepala. Semua itu perlu aku zahirkan di sini. Kalau tidak, semuanya lebur di telan waktu
2.      Rancangan ke Chennai sudah masuk dalam agenda Pena sejak tahun lalu. Juga bersekali dengan lawatan ke Makassar. Kedua-duanya bagi memenuhi undangan aktiviti persatuan penulis di sana, bukannya sekadar jalan-jalan kosong. Setelah semua setuju, kami AJK Pena cuma bayar tambang pada kadar minimum.
3.      Kami diminta menghantar puisi yang akan dikumpul bersama dengan pemuisi Chennai dan diterbitkan dalam buku dwibahasa. Tiga bahasa sebenarnya – BM, Tamil dan English. Tidak seperti di Jogja – yang aku gagal menghantar puisi – kali ini aku cari puisi yang belum terbit dan ku hantar begitu sahaja. Judulnya ‘Sarapan pagi’
4.      Perjalanan ke Chennai ternyata tidak semudah disangka. Cabaran pertama ialah mendapatkan visa. Itu adalah kewajipan untuk memasuki India. Agak menghairankan juga bagi sesama negara Komanwel yang memerlukan visa, sedangkan Britain, Australia dan new Zealand yang besar itu pun tidak memerlukan kita mendapatkan visa.
5.      Ada kemudahan mengisi borang visa secara online tetapi cukup bermasalah. Aku isi dua kali dan salah. Pertama kerana tujuan lawatan, kalau ditulis seminar tidak sama jika tujuan melancing. Jika seminar, perlu pula sertakan dokumen lain sebagai sokongan untuk pihak sana semak kesahihannya. Jika atas tujuan melancong, mudah sahaja urusannya. Kali kedua salah kerana nama yang tidak diisi dengan meletakkan ‘binti’. Urusan kecil yang merumitkan.
6.      Namun bukan aku seorang yang buat silap tetapi semua peserta. Mujur Presiden seorang yang tidak suka buat kerja saat akhir dan mahu semuanya diselesaikan segera. Menyedari bahawa untuk meminta yang lain mengisi dan menghantar borang pun akan memakan masa kerana tidak semua berada di Lembah Klang, maka dialah yang berusaha menyelesaikan segala urusan visa di kedutaan bersama beberapa AJK yang lain. Untuk urusan visa sahaja, perlu RM200 dan dua keping gambar mengikut spesifikasi yang ditetapkan
7.      Jadual penerbangan kami ialah 9 Jun (Isnin) hingga 13 Jun (Jumaat). Bertolak jam 6.30 pagi, tiba di tanah air 12.30 pagi Sabtu. Jadual yang sangat awal untuk pergi dan pulang. Soalnya, bagaimana aku harus pergi ke lapangan terbang?
8.      Ketika ini, KLIA2 sudah mula digunakan pada awal Mei. Tiada lagi LCCT yang menyesakkan. Macam-macam pujian aku dengar tentang KLIA2. Teruja juga ada.
9.      Aku mula merancang perjalanan. Nak suruh siapa hantar? Nak guna perkhidmatan teksi? Nak memandu sendiri? Perlu berada di KLIA2 paling tidak seawal 3 pagi. Ini bermakna perlu bertolak seawal jam 2. Jiranku bawa teksi. Bila ku tanya kadar hantar dan ambil, dia kata RM180. Terdiam sebentar aku. Kena cari jalan lain.
10.  Dalam pada itu ku teruskan juga hari-hari yang ku lalui dengan tenang. Cuti sekolah pun sudah bermula, perjalanan pagi ke pejabat lebih cepat tanpa kesesakan. Cuma bila aku tidak memegang kunci maka duduklah aku di tangga pejabat sebelum mereka tiba.

Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...