Ahad, Jun 22, 2014

Catatan Chennai - Sepuluh #3

 Chennai dari atas nampak padat. Ketika ini hujan lebat baru reda. Sisanya kelihatan pada awan yang memutih

  1. Sabtu pagi masih sempat aku ke kelas Wise, yang mana Dr Khalif menjadi tenaga pengajarnya. Aku perlu datang memandangkan aku punya masa lapang. Kebetulan Hanan keseorangan mengendalikan kelas, dapatlah ku bantu memasang projektor, membetulkan papan tulis, susun meja dan melihat keperluan kelas. Dapat juga input tambahan. Apatah lagi beliau bakal penyelia sarjanaku nanti.
  2. Sehabis kelas, Hanan menghulurkan sekeping duit sebagai saguhati. Terkejut dengan itu lalu aku menolak kerana tidak langsung menjangka. Tetapi diminta juga ambil kerana pihak pengurusan tidak dapat hadir dan memang bantuan seperti itu diperlukan. Aku, kalau diminta menolong pasti tidak menolak. Tapi bila dengan saguhati begini aku harap tahap keikhlasanku tidak berkurangan. Memang aku memerlukan duit tetapi ini rezeki yang di luar jangka.
  3. Aku singgah ke Dawama dengan senyuman melebar. Tambahan duit tadi aku belikan buku untuk menambah stok Kedai Buku yang akan bercuti selama seminggu dan akan ku aktifkan semula bila kembali nanti dengan semangat yang berkobar-kobar.
  4. Aku mempersiapkan beg pakaian boleh dikatakan lewat. Tapi semua keperluan dan baju yang diperlukan sudah ada dalam kepala. Jadual aktiviti dah terima menerusi emel. Cuma dua hari acara rasmi, selebihnya bebas. Bermakna baju  persatuan kena ada. Baju rasmi kena bawa. Nak pakai baju kurungkah? Malas nak bawa. Pakai skirt lagi sesuai sambil berjalan-jalan.
  5. Rupee yang ku bawa tidaklah banyak, niat berbelanja pun kurang. Kata orang belilah sari untuk buat baju raya. Ya, kain adalah salah satu tarikan bila mengembara tapi bukanlah minatku. Bolehlah sebagai buah tangan untuk emak dan adik-adikku. Aku lebih minat berjalan dan melihat-lihat suasana, merasa makanan tempatan, berinteraksi dengan masyarakat sana, singgah kedai buku, beli fridge magnet dan keychain. Itulah makna kembara bagiku, bukan sekadar merasai pengalaman di tempat yang asing.
  6. Duit yang aku tukar dalam lingkungan RM350. Tak sampai pun, kerana berbaki beberapa ringgit dan dapat Rs6000. Kadar tukaran ketika itu Rs5.700. Agak tinggi bila aku tanyakan pada teman yang lain. Cukupkah? Aku tak mahu berbelanja lebih. Fokusku terarah pada Tokyo hujung bulan nanti yang memerlukan belanja lebih besar dengan kadar tukaran yang tinggi. Dan kos hidup yang tinggi
  7. Apa yang aku tahu tentang Chennai? Atau soalan sebenarnya, apa yang kami tahu tentang Chennai? Atau tentang India. Tidak seorang pun dari 21 peserta rombongan ini tahu tentang Chennai. Semuanya perlu di Google. Berbeza kalau ke Jogja atau Makassar yang semuanya tahu segala ceruk dan selok belok. India sangat asing bagi mereka.
  8. Alu melihat-lihat buku tentang India yang ada di rak. Ada tiga naskhah yang semua itu diberi oleh Dewi dari koleksi bekas suaminya. Dua tentang Agra, satu lagi tentang Ghandi. Tidak cukup untuk mengetahui tentang Chennai. Aku lihat peta dunia dan meneliti kawasan Chennai. Letaknya di tenggara India. Barulah aku merasa cukup asing, berbeza perjalanan yang pernah ku lalui sebelum ini – Jakarta, Bandung, Bogor, Mekah, Madinah, Hatyai, Singapura, Jogja atau Makassar.
  9. Kami di Pena dibawa oleh sebuah syarikat yang mengaturkan acara bersama pemuisi Chennai. Aku tak pasti atas kapasiti apa syarikat itu bawa Pena. Aku pun tak bertanya. Mereka menyusun acara dua hari dan perjalanan kami di sana, makan minum, penginapan dan kenderaan. Tak tahu berapa banyak kos yang mereka tanggung dan berapa yang Pena tanggung. Aku pun tak bertanya. Tetapi terdengar juga, yang semuanya mereka tanggung.
  10. Rombongan disertai Dr Krishanan UM yang menjadi penterjemah buku dan mengikuti perjalanan sepanjang hari. Aku kira dialah yang menguruskan bersama wakil Chennai. Juga disertai Dr Mohan UM yang sangat teratur dan sopan santun berbicara. Aku yang Melayu ini pun terasa kasar bila bercakap dengannya.
Sarapan pagi dengan Nasi Goreng atas udara


Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...