Selasa, Jun 24, 2014

Catatan Chennai - Sepuluh #4


Ruang menanti sebelum memasuki pesawat di KLIA2. Semua serba sempurna

  1. Emak, abah dan Nurul sampai dari Shah Alam pagi Ahad. Aku bawa ke pasar pagi Beranang. Sempat masak dan makan-makan, kemudian abah balik. Emak dan Nurul tinggal sampai Khamis nanti dan akan balik bersama Angah. Dapatlah dia menemani Siti. Begitulah perancangan mereka.
  2. Aku pun mengemas beg untuk kali terakhir dan merancang-rancang jumlah baju. Perempuan agak susah sikit, mesti 3-piece suit. Aku pula bukan ada baju jenis nipis atau blouse. Tshirt lengan panjang aku jenis tebal semuanya. Toiletteries dan keperluan diri pun banyak. Kali ini juga aku bawa seterika. Tak mahu kisah menyusahkan di Makassar berulang.
  3. Kamera pun penting. Kamera milikku sendiri, yang kali terakhir abah gunakan ketika di bawa mengerjakan haji tahun lepas aku caj kembali. Masih boleh dipakai. Hampir nak aku beri pada TFTN tapi sayang pula. Sayang kerana duitnya aku dapat dari sayembara kalau tak silap. Tapi Angah bagi kamera Lumix-nya, oh, lebih menarik. Ada tali yang memudahkan aku ambil gambar dan memegangnya.
  4. Buku untuk baca perlu juga aku bawa, meski pun entahkan baca entahkan tidak. Puas juga aku belek almari, mencari buku yang tidak berat, santai dan boleh habis dengan cepat. Aku memilih tiga buah buku nipis – Ibn Arabi, Muhammad Abduh dan Prof Wan
  5. Semua gajet siap aku caj. Ipad, BB, kamera. Wayar dan plag siap aku bawa sekali. Aku cuba kosongkan Ipad tetapi entah kenapa tidak boleh akses kepada memori jadi tak boleh ambil gambar yang ada. Apa masalahnya? Terpaksalah aku emel atau letak dalam Google drive. Leceh betul bila kena buat pada hampir 1000 keping gambar. Tapi aku biarkan dahulu. Ada kamera lebih mudah dari using ipad untuk bergambar. Tapi universal charger tak ada; hilang atau bagi pada orang?
  6. Barang lain yang ku bawa adalah buku nota dan dua batang pen yang baru ku beli. Hajatku, buku nota ini akan penuh catatan. India sangat asing bagiku, jadi perlu banyak aku catat untuk keperluan masa hadapan. Namun agak ragu-ragu juga dengan kemampuanku mencatat dalam perjalanan kerana akhir-akhir ini aku gagal melakukannya. Tidak seperti ketika zaman belajar ku dahulu, di mana-mana akan kelihatan aku mebuat catatan sehingga kegemaranku ini pernah mendapat pehatian dan ditegur (diuji sebenarnya)
  7. Namun fikirku – semua ini adalah kerana perubahan masa. Kini aku banyak merakam dalam ingatan dan menulis bukan apa yang aku lihat secara zahir tetapi melahirkan apa yang aku rasa dari pandangan mata. Jadi ia tidak memerlukan aku mencatat setiap sesuatu. memaadai mencari akarnya, kemudian nanti ku siram dan ku baja dengan baik dalam bait kata yang lebih panjang.
  8. Namun itu tidak berlaku seperti dirancang. Banyak catatanku tertinggal di dalam kepala. Tidak pun ku tulis atau dipanjang lebarkan. Maka adalah lebih baik untuk aku menulis sewaktu dalam perjalanan agar catatan itu nanti kupajangkan dikemudian hari apabila ada kelapangan. Apabila ada kelapangan.
  9. Setelah meninggalkan pesanan yang perlu, yang sebenarnya tak ada apa pun, pukul 9 malam, aku bergerak dari rumah dihantar emak dengan pandangan matanya. Lokasi singgahan pertama ialah Sungai Merab. Aku mahu hantar stiker dinar-dirham yang aku temui pagi itu kepada Raudah al-Miqyas. Sudah berjanji untuk bagi jadi aku tak mahu bertangguh. Nanti jadi lambat. Dia beri segenggam biskut oat-coklat sebagai bekalan.
  10. Dari Sungai Merab, aku terus memandu ke Putrajaya Sentral. Aku letakkan kereta di situ dan naik ERL menuju KLIA2 dengan tambang RM6.20. Penumpang tak ramai. Cuti sekolah mungkin. Atau kerana malam Isnin. Selepas menungu hampir 20 minit, ERL pun tiba. Jam 11 aku sudah berada di KLIA2.



Matahari baru bangun tidur di hujung sayap AK11



Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...