Jumaat, Julai 25, 2014

Sebuah manuskrip, iron gall dan mata lalat [2]

Masih lagi berkisar tentang Tuan Haji dan kitab yang dibawanya. Sebuah kitab yang cantik itu, 75 halaman yang perlu diimbas. Oleh itu, agak mengambil masa supaya dapat diproses gambarnya dalam fail yang bersesuaian untuk dicetak. Bagi diri saya sendiri, ini pengalaman pertama melihat dan memegang sebuah manuskrip lama. Sebelum lihat dalam gambar atau dalam beasberkaca. Kalau dapat lihat betul-betul pun, tak boleh pegang :(

Cara memegang kitab ini pun ada caranya, kata Tuan Haji.dia menunjukan warna hitam pada penjuru bawah setiap halaman. Kena pegang bahagian ini untuk selak halaman, katanya. Jika tidak, kertas ini tidak dapat tahan lama. Menyelak setiap halaman pun kena perlahan-lahan dan berhati-hati. "Cantik ni, cantik. Tulisannya kemas, bertintakan emas." Beliau menunjukkan kepada tulisan dengan khat thuluth berdakwat hitam dengan iluminasi pada bingkai keliling kertas yang berwarna emas dan warna-warna lain.

"bayangan orang dahulu buat dakwat hitam, emas, biru, hijau, bukanlah macam kita sekarang. Dakwat hitam ni didapati dari pasak sotong."

"Sotong?" Cerita Tuan Haji semakin menarik. Meski pun pernah juga saya dengar tentang pembuatan dakwat zaman dahulu, tetapi mendengar cerita yang terhasil dari pengalaman berbeza rasanya.

"Sotong, ada dakwatnya yang hitam. Kelongsongnya dipecahkan, dikumpulkan dan direbus bersama akar kayu dan tawas. Entah apa jenis akar kayu itu, saya tak tahu. Tapi pasti ada akar kayu. tawas juga wajib kerana ia melikatkan /  mengilatkan dakwat bila ditulis."

"Pasti banyak sotong yang diperlukan," ujar saya. "Masakan tidak," sambung beliau. "Tetapi tidaklah sesukar mana. Setiap kitab ini ditulis atas arahan Sultan. Maka mudahlah untuk mengerah orang-orang suruhan dan hamba rakyat ke pasar-pasar dan mencari sotong untuk dibuat dakwat." Tulisan khat thuluth kelihatan kemas berbaris tanpa bengkang bengkok, dengan saiz tulisan yang sama dari muka hadapan hingga muka surat terakhir. "Untuk tinta emas pula, memang emas sebenar yang digunakan." kata Tuan Haji. "Emas dahulu besar berketul-ketul saiznya, bukan macam sekarang yang berbentuk serbuk dan halus seperti pasir. Ketulan emas itu diasah pada belakang pasu, kemudian dicampur dengan akar kayu dan tawas serta direbus sekali. Untuk iluminasi kitab ini, entah berapa gram emas digunakan, tak tahu pula saya nak mengukurnya." Kami memegang bahagian beriluminasi emas. Memang cantik dan masih bersinar emasnya.

"Dakwat berwarna pula bagaimana? Kalau hitam dari sotong, warna hijau, biru, merah dari pokok?" Soal saya. Memang pernah saya terbaca, cuba inginkan kepastian.

 Ini contoh iluminasi pada sebuah manuskrip. Ini bukan kitab seperti yang dimaksudkan. Warna emas, warna merah, hijau, biru, hitam adalah hasil dari kebijakan silam menggunakan tumbuhan bagi menghasilkan dakwat. Sumber gambar

"Warna-warna lain ini dihasilkan dari tumbuhan. Hasil dakwat dari tumbuhan ini bagus sebenarnya, kekal lama dan bebas bahan kimia. Ia tidak merosakkan kertas dan warnanya tidak pudar." Jari Tuan Haji meraba-raba tulisan pada kertas dengan berhati-hati, seolah-olah warna-warna pada tulisan itu sedang berbicara dengannya."

"Warna biru unik kerana tidak dihasilkan dari tumbuhan. Dakwat biru dihasilkan dari mata lalat." Tuan Haji berhenti seperti mahu melihat kehairanan kami. "Mata lalat?" Saya melopong mendengarnya. "Bagaimana mata lalat yang kecil boleh hasilkan dakwat yang banyak?" Tuan Haji ketawa kecil, kami juga menyahut tawanya. Sedang memikirkan logik bagaimana lalat-lalat itu ditangkap dan dkorek matanya bagi mengeluarkan cecair. "Tapi ini jenis lalat yang besar, macam langau. Bukannya lalat biasa yang bersaiz kecil." Sambung Tuan Haji. "Untuk menangkap lalat-lalat ini pun tak ada masalah. Hamba rakyat dan orang suruhan pergi ke pasar-pasar menangkap lalat, dikumpulkan dan dikeluarkan cecair pada matanya. Untuk menghasilkan dakwat, masih gna ramuan yang sama. Campurkan dengan akar kayu dan tawas," sambung beliau lagi.

Begitulah kisah dakwat asli yang dihasilkan oleh orang kita zaman dahulu. Jadi apa bezanya dengan dakwat sekarang? Kita sambung pada entri berikutnya pula :)


Baca juga:
Sebuah manuskrip, iron gall dan mata lalat [1]
Sebuah manuskrip, iron gall dan mata lalat [2]
Sebuah manuskrip, iron gall dan mata lalat [3]


Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...