Rabu, September 14, 2016

Ulasan Buku: Winstedt sebagai sarjana orientalis

Apakah R.O. Winstedt (1878-1966) seorang orientalis atau sarjana merupakan persoalan yang sukar dijawab. Dia boleh menjadi kedua-duanya - seorang sarjana orientalis. Namun menyalahkan dirinya kerana menulis sesuatu yang tidak tepat tentang orang Melayu adalah suatu kesilapan kerana itulah apa yang dia lihat sepanjang 33 tahun berkhidmat di Tanah Melayu. Sebagai sarjana, Winstedt adalah pemegang rekod paling banyak menghasilkan karya dalam pelbagai bidang (rujuk bibliografi ya...ng dihasilkan oleh H.R. Cheesemean, 1959).  

Sewaktu memulakan perkhidmatan di Perak, Winstedt mula tertarik dengan budaya Melayu menjadikan dia banyak menghabiskan waktu selepas kerja dan hujung minggu bergaul dengan masyarakat Melayu. Pengetahuan dari pergaulan ini, juga dari galakan R.J Wilkinson yang menjadi ketua jabatannya ketika itu, menjadikan Winstedt menekuni budaya Melayu dengan mendalam, mempelajari adat dan fasih dalam berbahasa. 

Winstedt mula menulis tentang Melayu dan setiap hari dia memperuntukkan masa dari jam 4 hingga 8 pagi untuk menulis sebelum memulakan kerja. Perpindahan dari Perak, Negeri Sembilan, Johor, Singapura memberi ruang untuk Winstedt merasai kepelbagaian budaya dan kehidupan Melayu, membantu dia menghasilkan pelbagai karya untuk ditekuni oleh sarjana seterusnya. 

Setelah bersara dan kembali ke England, Winstedt masih lagi berkhidmat dalam bidang pengajian Melayu, kali ini di SOAS dengan membaca dan mengkaji ribuan manuskrip Melayu yang banyak tersimpan di sana. 

Sesuatu yang jarang disebut tentang sumbangan Winstedt selepas pulang ke England ialah dia adalah antara 'colonial officer' yang bertikam lidah dengan pegawai Pejabat Tanah Jajahan untuk menentang dan menolak Malayan Union yang cuba diperkenalkan di Tanah Melayu selepas Perang Dunia Kedua. Bersama Swettenhan, Clementi, Haynes, Hake (dikatakan seramai 17 orang), menghantar pandangan peribadi menerusi surat ke akhbar dan dijemput berbincang di London. Mengenali orang Melayu sejak berkhidmat sekian lama di Tanah Melayu menjadikan Winstedt mengerti betapa gagasan Malayan Union tidaklah bertujuan membawa kebaikan kepada orang Melayu sendiri.

Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...