Sabtu, Ogos 01, 2015

Kembara Kemboja #4

catatan dari FB bertarikh 2 Ogos 2015


Perjalanan pada 30 Julai 2015
 



Inilah lokasi pembunuhan beramai-ramai yang dinamakan Choeung Ek Killing Fields, terletak tidak jauh dari bandar Phnom Penh. Ketika kecil saya banyak membaca di dada akhbar tentang sifat tidak berperikemanusiaan regim Khmer Rouge di bawah Pol Pot yang membunuh rakyat Kemboja yang enggan menerima fahaman komunis. Sesiapa yang berwajah cerdik, belajar di universiti, memakai cermin mata dan berkulit halus akan dibunuh kerana mereka adalah orang-orang pandai yang akan menentang fahaman komunis nanti. Setiap penduduk dikerah melakukan kerja yang sama seperti menanam padi dan tidak dibenarkan memiliki tanah. Mereka tinggal dalam pusat penempatan yang sama dan diberi makanan yang sama. Semuanya kerana ideologi komunis. Kononnya sama rata dan adil.


Selepas tiga tahun penderitaan yang berakhir pada 1979, banyak kekejaman yang mereka lakukan disedari masyarakat antarabangsa. Kubur pembunuhan beramai-ramai, kem siksaan tahanan dan jenis pembunuhan kejam dibongkar satu persatu. Masyarakat sepakat membawa penjenayah ke pengadilan antarabangsa dan dihadapkan ke tribunal jenayah perang. Ketika itu sekitar 1990-an, saya masih ingat wajah tua Pol Pot, Khieu Samphan dan Ieng Sary duduk dibangku pengadilan mendengarkan jenayah yang mereka lakukan dan pertuduhan yang disenaraikan.




Namun mereka tidak akan pernah merasa bersalah. Tiga tokoh Khmer Rouge inilah yang merencanakan penyiksaan ke seluruh Kemboja. Saya masih ingat apa yang mereka buat seperti yang diceritakan saksi. Bagaimana mangsa dikumpulkan, disembelih, dipukul dengan apa sahaja hingga mati, bayi dihentam ke pokok hingga tercabut nyawa, siksaan di kem tahanan yang tidak terbayang oleh fikiran waras manusia. Tiada peluru yang akan membunuh mereka kerana harga peluru sangat mahal. Oleh itu apa sahaja alat yang ada akan digunakan sebagai senjata.


Setiap kali membaca laporan akhbar dan catatan wartawan ke Kemboja ketika itu, saya sering membayangkan siksaan hidup mereka dan derita hari-hari yang dilalui tanpa mengetahui apakah esok masih ada buat mereka. Sejak itu saya sering tertanya apakah saya mampu menjejaki Kemboja dan berada di padang pembunuhan ini. Dan apakah saya sanggup melihat kekejaman yang telah menjadi sebahagian dari sejarah pedih Kemboja.


Di belakang saya adalah stupa 17 tingkat yang menempatkan tengkorak dan tulang temulang mangsa. Tetapi banyak lagi dibiarkan di dalam kubur kerana terlalu banyak untuk diletakkan dalam stupa. Pelancong yang menziarahi Killing Fields diberi satu set rakaman audio untuk mendengar penerangan di setiap check-point yang berakhir di stupa. Sepanjang penerangan bermacam-macam perasaan timbul. Teman seperjalanan yang selalunya akan mengambil banyak gambar tidak mampu berbuat demikian sebaliknya berdiam diri sepanjang masa lawatan kami di sini.


Akhirnya saya menewaskan kerisauan dengan berjaya tiba di Killing Fields biarpun dengan perasaan gementar. Tidak semua rakaman dapat saya hayati sepenuhnya. Wajah Pol Pot yang meminta simpati masyarakat antarabangsa sewaktu pengadilan terbayang-bayang di hadapan mata. Mereka akhirnya dihukum, tetapi apalah makna hukuman itu pada usia tua. Dan percayalah, tribunal perang itu masih berjalan sehingga sekarang. Masih ramai tentera yang hidup bebas menunggu waktu pengadilan sedangkan mereka kian menginjak usia tua.


Sedih, memang pedih. Itulah ideologi komunis.


#cambodiatrip #travel2015 #day1




Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...