Jumaat, Jun 09, 2006

Hantu buku

Seminggu dua ini saya rasa macam mati kutu. Saya mencari punca, tetapi tak tahu kenapa. Agaknya mungkin kerana terlalu memikir akan perancangan masa depan hinggakan saya merasa 'tak berapa betul'. Saya ini senang sahaja, kalau rasa bosan, pergilah ke kedai buku. Lihat buku sahaja dah boleh menenangkan fikiran. Kalau orang lain pergi shopping, atau gila shopping, kaki saya akan pantas menuju ke kedai buku. Biasanya, perancangan mahu melihat buku sahaja, tetapi kalau dah hantu buku, pantang jumpa pasti nak beli.

Mungkin 'mati kutu' saya ini ada kaitannya dengan buku. Selepas Tunggu Teduh Dulu oleh Faisal Tehrani yang habis saya baca minggu lalu, saya tiada 'stok' buku untuk di baca, melainkan majalah sastera yang ada. Jadi saya rasa, saya perlu cari stok baru.

Semalam, saya ke MPH Wangsa Maju, berhajat melihat-lihat buku. Belek-belek buku terjumpa dua buku menarik. Benih Semalu oleh A Samad Said dan Siri Biografi A Samad Said. Saya beli kerana dua perkara - pertama kerana harga yang murah, kedua kerana oleh A Samad Said dan tentang A Samad Said. Pada mulanya saya terkejut kerana harganya murah, buku A Samad Said di jual pada harga murah? Terkejut kerana ia buku seorang sasterawan. Tidak hairanlah Pak Samad pernah 'merajuk' satu ketika dahulu.

Saya sedang berusaha mengkhatamkannya. Pada rak sudah ada beberapa hasil karya Pak Samad. Sekarang ini, saya berusaha mengumpulkan hasil karya mereka dalam usaha memantapkan bahasa dan mencambahkan idea. Supaya bahasa menjadi cantik dan nahunya betul dan tidak ganjil.

Bodyguard

Dulu masa sekolah, kawan-kawan gelar saya 'King Kong' (buruk sungguh gelaran ni). Bukannya apa, sebab saiz badan saya yang tinggi dan tegap, maka di gelar saya sebegitu. Memang setiap orang ada gelaran mereka sendiri. Ada yang ayahnya Tamby Chik dipanggil Tamby, datuknya bernama Rabu di panggil Rabu, yang agak-agak tomboy di panggil Atan (dari perkataan jantan), yang bersuara halus di panggil Doraemon, ayahnya bernama Mokhtar di panggil Mortar dan macam-macam lagilah. Kami semua tak peduli dan tak marah pun, sebab rasa macam satu keseronokan pula.
Bila dah dipanggil King Kong, ada pula yang gatal mulut mengatakan yang saya ni sesuai jadi bodyguard sebab saya di katakan punya karektor seperti itu. Tak tahulah, mungkin ia menjadi doa yang makbul, kerana saya kemudian bekerja dengan sebuah syarikat Kawalan Keselamatan, terlibat dalam operasi kawalan keselamatan, bermain dengan senjata api dan keselamatan syarikat yang kami jaga.
Apabila menyambungkan pelajaran, saya bergiat cergas dengan sebuah paramedik unit, yang turut mempunyai uniform sendiri dan rejim latihan yang ketat. Saya bertahan hingga keakhir pengajian, biarpun ditinggalkan oleh kawan-kawan yang awalnya berkobar-kobar turut serta. Ia bukan sekadar paramedik unit, tetapi turut merangkumi pelbagai aktiviti lasak lain seperti berbasikal, panjat turun gunung, aktiviti survival, berkhemah, berkayak dan bermacam lagilah (akan saya cerita kemudian). Ia sekaligus menyebabkan saya perlu sentiasa cergas dan 'fit', supaya tak mudah 'pancit' bila menyertai program panjang yang memerlukan tahap kecergasan yang tinggi. Oleh itu, setiap petang saya perlu menghadiri latihan yang ada - berjogging, berkayak, mengayuh basikal dan macam-macam lagi. Memang tahap kesihatan dan kecergasan di tahap yang tinggi! (tak seperti sekarang ni, kasut jogging pun entah ke mana)
Apabila habis belajar, saya cuba memohon kerja ke pelbagai tempat. Rezeki mungkin tak menyebelahi, tambahan pula memang tak berminat dengan kerja dengan orang (mahu jadi bos sendiri - lihat entri yang lalu). Jadi bila dah pasang niat macam tu, memang tak dapatla. Jadi, ada juga teman-teman yang gatal memberitahu supaya saya memohon masuk tentera - tak kiralah pilot ke, navy ke. Saya mula berfikir, mulut-mulut yang gatal ni, kalau di ikutkan betul juga. Minat ke arah itu memang ada, apa lagi melihat mereka berunifrom dengan segak. Kawan-kawan pun ramai yang boleh tolong - ada yang dah jadi PA dengan Laksamana lagi. Itu kalau mahu ikut jalan belakanglah. Tetapi saya kuburkan sahaja niat itu, kerana saya mahu pergi ke bidang lain.
Akhirnya, saya bekerja dengan syarikat kawalan keselamatan itu. Hampir 15 bulan juga saya di sana, hinggalah saya berhenti pada April yang lalu. Kerja baru saya? Hmm.. jadi PA, lebih kurang macam bodyuard jugalah. Tak kemana jauh juga bidang yang saya pergi ni. Pusing-pusing itu juga. Awalnya saya tak sedar, hinggalah seorang rakan memberitahu perkara sedemikian. Tak apalah, bukan saya yang minta pun.

Kecil sahaja dunia ini.

Irama jiwa

Gusar mengundang risau
Benci mengundang iri
Kecewa bawa binasa

Resah dalam tawa
Tangis dalam pilu

Semua irama menjadi satu


Resah? Pilu? Rindu?

Peta Hidup

Saya rasa sekarang ini saya perlu berhenti seketika, meletakkan titik pada perjalanan kehidupan saya, maksudnya kerjaya saya. Bukan saya putus asa, bukan saya patah semangat, tetapi kerana saya mahu memulakan sesuatu. Titik berhenti itu adalah untuk saya memulakan sesuatu.

Awal dahulu, sewaktu saya mahu meletakkan kaki dalam dunia kerjaya, seorang rakan menyuakan saya buku ‘Rich Dad, Poor Dad’.Buku bagus katanya. Saya menekuni dan mengkhatamkannya. Akhir ayat, mata saya celik benar. Sememangnya saat itu saya mencari-cari arah sendiri dan sedang merecana hidup baru-hidup orang bekerja. Setiap hari saya memikir jalan, melakar-lakar peta hidup akan arah yang sepatutnya saya tuju. Saya tidak gemar menjadi seperti orang biasa, yang hidupnya ‘tergendala’ setiap hari selama lapan jam, yakni dari jam 8 hingga 5. Pada saya kehidupan mereka terkongkong (terkongkong, bukan dikongkong). Robert Kiyosaki kata Rat Race. Rat Race ni, kalau nak di cerita, panjang juga. Nantilah, akan saya kisahkan kemudian. Tapi saya tahu, awal hidup saya di dunia baru ini, saya perlu juga mengongkongkan diri buat seketika untuk merasa sepak terajang dunia kerja, belajar dari manusia dan tamak haloba dunia.

Mujurlah saya jenis yang pandai cari kerja part-time. Macam-macam yang saya buat selepas belajar. Selain dari kerja 8-5 yang sementara, saya ‘ambil upah’ menjaga koperasi pada waktu malam, mengajar tuisyen dirumah pada Sabtu dan Ahad, kemudian menjadi penjaga peperiksaan di Kolej TAR (ada pengalaman menarik di sini, nanti saya ceritakan kemudian), hinggalah di panggil menjalani latihan di Suruhanjaya Sekuriti selama sebulan. Saya akui hasilnya tidak lumayan, cukuplah sekadar menampung hidup saat baru melangkah kerja. Saya tak kisah tentang bayaran, kerana pengalaman itu sendiri tidak boleh di nilai. Mujurlah, saya tidak pernah di tipu majikan. Bayaran dapat, tetapi kerja 8-5 itu yang bermasalah, bayarannya lewat hingga tiga bulan. Jadi kerja part-time menjadi penampung kehidupan saya buat sementara. Dari situ, saya belajar dan melihat pelbagai perkara. Memang saya pendiam dan tidak banyak cakap, tetapi saya banyak memerhati dan memikirkan tentang itu ini. Akhirnya saya menjadi seorang yang ‘boleh’ bercakap dan banyak bertanya tentang perkara yang ingin saya tahu. Semua itu saya golongkan sebagai rahsia perniagaan.

Saya rasa cukup sudah apa yang saya terima. Bukannya berpuas hati, tetapi amat baik untuk saya memulakan sesuatu untuk di diri saya dan masa depan saya. Saya tidak lagi terus terperangkap dalam dunia 8-5, terkongkong dengan kerja, dan lebih-lebih lagi melakukan sesuatu yang saya sendiri tidak minat (seperti kerja sekarang inilah). Setiap hari saya berfikir, mengapa harus saya bersusah kerja demi orang lain dan saya pada setiap bulan mengira hari menunggu gaji yang bila di tolak EPF, ansuran kereta, pinjaman JPA cuma tinggal berapa sen sahaja. Saya tidak mahu berterusan begini

Sebab itu saya rasa cukup setakat ini. Seminggu dua ini saya banyak berfikir selain menyandarkan lebih doa kepada Allah moga Dia memberi petunjuk yang tepat, jalan yang benar, diri yang kuat, semangat yang berkobar, usaha yang gigih dan harapan yang luhur supaya cita-cita saya di berkati dan di dalam rahmat dan redhaNya.

Saya nekad kini. Malam tadi, saya bertapa seketika di MPH, membelek buku Chef Li hingga akhir, speed reading tanpa membeli. Buku yang bagus dan sekaligus membantu saya membuat keputusan. Saya mahu usaha sendiri. Kalau saya tak bermula dari sekarang, bila lagi. Kalau saya tak bermula, bagaimana saya tahu keupayaan saya? Untuk apa saya harus takut sedangkan saya belum bermula. Saya mahu usahakannya, saya mahu melakukannya. Peluang sudah ada, jalan sudah nampak, usaha sahaja yang perlu untuk menggerakkannya. Sudah sampai masanya saya berdiri di atas kaki sendiri.

Saya tahu kekuatan diri. Saya tahu rezeki Allah ada di setiap ceruk bumi.
Setiap usaha pasti ada balasannya.

Rabu, Jun 07, 2006

Mencintaimu Tak Pernah Lelah

Cinta itu
menyala, di ujung malam
tanpa lelah
mengintipmu
di sebalik pintu-pintu hidayah
luas terbuka

Mencintaimu tak pernah lelah
mengharap
meski mengucur keringat
di malam pekat

*di ambil tanpa izin dari laman Tiara-Saja

Khamis, Jun 01, 2006

Sesatkah?

Kak D, cuma sekali sekala datang ke pejabat saya. Dia datang bila perlu, bila ada temu janji yang diatur oleh pelanggan. Kadangkala dia sengaja datang awal bagi mengemas biliknya. Kadangkala bila terlalu awal, saya jadi mangsanya, untuk menjadi teman dia bercakap, sebab dia ni memang suka bercakap. Tapi Aiman tak kisah.
Satu hari dia membuka satu cerita. Cerita tentang dirinya. Yang bila aku dengar, hampir terbeliak jugalah mata, tapi buat-buat tak tahu dan kontrol dalam diam. Dia mengakui dan menyatakan kebenaran akan dirinya - yang dia belajar TASAWUF. Mula-mula aku terdiam juga, lama-lama aku jadi kagum, kerana mulutnya mula menuturkan fakta-fakta yang boleh mengesahkan dia memang belajar tasawuf. Tapi aku tak kisahlah apa ilmu yang dia belajar, sama ada aliran yang betul atau aliran yang menyimpang. Aku sendiri tak tahu kesahihan perkara sebegini. Dunia sekarang ni manusianya macam-macam. Aku sendiri tak kuasa mahu menghakimkan samada seseorang itu lurus jalannya atau tidak. Biarlah Allah sahaja yang menentukan. Aku sekadar dengar. Bak akat Atuk aku, dengar boleh, percaya jangan.
Tapi ada satu perkara yang menyebabkan aku rasa tak sedap hati. Dia menyatakan yang dia tidak memakai tudung adalah kerana dia mengikut mazhab yang memberi kebenaran kepadanya untuk tidak bertudung. Buat seketika aku terdiam dan tidak membalas kata-katanya, sambil cuba mengorek memori. Manalah tahu, tetiba memang ada mazhab yang kata seperti yang dia kata.
Lama-lama aku senyum. Makin lama, makin banyak rasanya benda silap yang dia cakap dan dia buat. Aku tak membalas, mahpun membantah. Sekadar senyum. Dia tahu, dia seorang sahaja di sini yang tidak bertudung dan dia sedar akan lirikan mata-mata yang menyindir penampilannya. Dalam pada masa yang sama dia mengakui selalu bertahajud dan membaca Qur'an serta berusaha berjaga malam untuk beribadah. Dia juga berusaha menegakkan pendiriannya yang tidak bertudung itu. Ada pelanggan yang datang kepadaku menceritakan perkara yang sama, seolah-olah dia berbangga yang dia tidak bertudung dan ada mazhab yang membenarkan dia berbuat begitu. Aku tidak berkata apa-apa, sekadar diam dan senyum.
Bila aku utarakan perkara ini kepada bos (bos aku perempuan), dia terbelalak.
"Heh! Ada ke macam tu? Masa di kubur nanti, kita cuma ditanya, 'apa agamamu?' bukannya ditanya 'apa mazhabmu?'. Mana boleh macam tu?"
Sekali lagi saya senyum dan terdiam.

Mati Kutu

Mati kutu? Kenapa mati kutu? Sebab tak ada laptop, aku mati kutu...
Dua hari laptop demam, sebab tangan gatal memadam program yang tidak perlu. Akibat rabun (bukan buta) pasal IT, maka hilanglah Office seketika. Maka tergamam dan terkesima, kerana semua benda duduk dalam Office. Mujurlah ada Open office, tetapi tetap tak puas hati. Mahu office juga!
Jadi, dua hari masuk klinik, dah lah doktor tu part time, boleh jengah pesakitnya selepas waktu pejabat, jadi lambatlah pesakitnya kebah. Bila dah keluar dari klinik, tak boleh online pula. Masuk klinik lain lah pulak. Akhirnya, terpaksalah aku update blog di CC, akibat dah terlalu gian kepada blog.
Tapi bila dah mati kutu macam ni, aku teringat kata kawan aku masa aku baru start nakkkenal dunia kerja.
"Kita memang di suruh elak dari terlalu bergantung kepada sesuatu, hatta kepada manusia pun. Jadilah Allah itu sebagai satu-satunya tempat bergantung, kerana Dialah yang kekal abadi. Manusia, bila-bila masa nyawanya di cabut Tuhan. Bila tiada, kita jadi susah dan gundah gulana"

Hmm...betul juga.

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...