Jumaat, Oktober 06, 2006

Kucing


Seingat saya kami dah lama tak bela kucing, sejak adik saya yang kelima dimasukkan ke hospital akibat jangkitan kuman pada paru-paru. Rasanya lebih kurang lima tahun yang lalu. Doktor kata jangkitan berpunca dari bulu kucing. Tambahan pula adik saya ada asma. Terus kami tak bela kucing sejak hari itu.

Dahulu saya memang bela kucing, maklum sahajalah tiada adik kecil, jadi sekadar bermain dengan kucing. Bila adik kelima lahir sebaik sahaja saya tamat SPM, saya dah tak pandang kucing. Tapi kami masih bela lagi. Cuma saya dah tak manjakan kucing sangat macam dulu.

Awal tahun ni, bila balik kampung saya lihat ada seekor kucing dirumah. “Kucing sapa ni?” saya tanya.

“Ambik kat rumah Alin. Rumah dia banyak kucing. Mintak seekor,” jawab adik saya yang nombor lima itu. Asyik dia bermain-main dengan kucingnya. Rupanya dia suka kucing. Pantang kucing itu hilang dari pandangannya, mesti dicari. Pernah satu hari dia cari kucing tu tak jumpa. Hampir menangis dibuatnya. Nak ketawa lihat perangainya pun ada. Tapi saya diamkan sahaja. Mujurlah emak tak bantah.

“Kalau nak bela, jaga elok-elok. Jangan biarkan dia lapar. Bagi makan selalu. Bila malam, jangan bawak masuk, tinggalkan di luar. Nanti habis kencing dan berak merata,” emak pesan.

Baru-baru ini saya lihat ada lagi seekor. Kali ini kucing jantan. “Kucing mana pulak datangnya ni?” saya tanya.

“Emak bawak balik dari kebun,” jawab adik saya yang nombor lima itu.

“Emak jumpa dia kat tepi jalan, dekat dengan kubur masa nak balik kebun. Ada orang buang agaknya sepasang. Yang sekor dah mati kena lenyek dengan motor. Dia melompat-lompat dengan sedaranya yang dah mati. Kesian mak tengok. Itu yang emak bawak balik,” kata emak panjang lebar.

“Yang mula-mula tu jantan kan?” saya tanya.

“Yang tu jantan, yang ni betina,” jawab adik saya.

Saya senyum. “Kalau nak bela, elok-eloklah bela. Jangan dipukul. Tak baik, berdosa,” kata saya.

“Lepas ni banyaklah anak kucing. Yang tu dah bunting. Kau tahu tak, kucing ni beranak setahun dua kali. Sekali beranak adalah lima enam ekor. Kalau dua kali setahun, mahu dekat satu dozen,” saya menyambung.

“Banyaknya,” adik saya menjawab.

“Memanglah. Tapi jaga elok-elok. Besar pahala bela kucing. Kalau kita bagi dia makan, dia tolong kita kat ‘sana’ nanti.” Itu yang mak selalu nasihatkan. Dahulu saya jadi orang yang selalu beri makan sebab mahu dia tolong saya di ‘sana’ nanti.

Bila saya balik lagi sekali, adik saya terus menyapa. “Long, kau nak tengok anak saudara kau?” saya tahu dia merujuk kepada anak kucing yang baru seminggu beranak.

“Berapa ekor?” saya tanya.

“Enam,” jawabnya. Masih merah lagi. Mata pun belum buka.

“Nanti jaga elok-elok, bagi makan, bagi minum. Jangan biar bersepah,” saya mengulangi pesanan yang sama yang entah berapa puluh kali saya beritahu bila sahaja cakap pasal kucing.

“Kalau kita bagi makan, nanti dia tolong kita kat ‘sana’,” sambung emak. Itu sahajalah pesanannya. Agaknya supaya kami tak lupa tanggungjawab menjaga kucing agaknya.

Nota: Gambar tu bukan kucing kami...gambar pinjam

Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...