Rabu, Mac 21, 2007

Jadi, apakah kemungkinannya?

Panas hari ini ternyata menggelegak. Matahari memanah isi bumi, berpijar cahayanya memancar dan menjilat apa sahaja yang ada. Suasana kurang selesa kelihatan jelas dimana-mana. Setidak-tidaknya, masing-masing cuba mengelak dari berada di bawah panas. Ada yang sedia berpayung namun tidak mampu mengelak peluh dari bercucuran.

Dia terkocoh-kocoh keluar dari dingin kereta cuba mengelak panas memanjat tangga ke tingkat empat apartment. Entah silap apa agaknya, kelam kabutnya menyebabkan dokumen penting yang disiapkan malam tadi keciciran. Seingatnya jelas, masih diatas meja. Tidak tercapai oleh tangannya sewaktu turun ke pejabat pagi tadi. Mujurlah jarak antara pejabat dan apartmentnya cuma sepelaung, maka kesempatan makan tengahari diambil untuk pulang sebentar.

Panas ini menghauskan tekak. Apatah lagi memanjat tangga ke tingkat empat tambah meletihkan. Di hadapan pintu, dia terkial-kial memasukkan kunci. Ada suara tv kedengaran dari dalam. Mungkin ada teman serumah yang tidak bekerja. Segera terbayang kepada jus mangga yang enak disejukkan didalam peti. Tekak yang nyata kehausan membayangkan nikmat meneguk jus mangga sejuk. Teringin dia meneguk barang seteguk dua.

Pintu dibiarkan terbuka luas. Segera dia melangkah masuk sambil membayangkan kenikmatan jus mangga yang telah siap dibancuh itu membasahi tekak. Ada tv terpasang, kipas berputar laju, dua gelas air dan sepinggan keropok goreng diatas meja. Bunyi pancuran air menandakan ada nyawa didalamnya. Dan dia tidak merasa risau, kerana yakin teman serumahnya itu memang tidak pergi kerja.

Jus mangga memanggilnya dahulu, meninggalkan dokumen biarpun itu yang menyebabkan dia pulang. Sebaik tiba di dapur berhadapan peti, langkahnya terhenti. Ada tubuh asing di situ berdiri memegang jus mangganya. Tubuh asing itu – lelaki tanpa baju – memandangnya yang terdiam tanpa gerak, membisu tanpa kata. Masing-masing kaget. Beberapa saat berlaju dengan matanya memandang wajah asing itu. Otaknya berpusing mencari logik, akalnya cuba mencantumkan ingatan yang ada terhadap teman serumahnya yang berada dibawah pancuran air.

Sebaik sahaja dia menerima kembali kewarasannya, dia memohon izin ke peti dan batang tubuh asing itu meninggalkannya. Matanya meneliti isi peti, tetapi daya fikirnya masih cuba mencari hubungkait dua insan ini. Seperti orang yang direnjat elektrik, dia tidak dapat mengingatkan tujuan dia membuka peti. Lantas dia melangkah ke bilik, kebingungan dan termangu lalu keluar, mengunci pintu dan turun.

Di pertengahan tangga, barulah dia waras kembali akan tujuannya, lalu berpatah semula. Dia hadapan pintu dia masih berfikir saat mahu memasukkan kunci. Namun kali ini dia tidak mahu berfikir dua kali. Dokumen itu penting untuk mesyuarat petang nanti. Dia istighfar sebelum melangkah masuk. Sewaktu keluar tadi, pancuran air masih kedengaran, namun tidak saat dia masuk kembali. Pintu bilik yang tadi terdedah juga telah tertutup rapat. Tubuh asing tadi entah kemana. Tv dan kipas masih terpasang. Dua gelas dan sepinggan keropok masih disitu juga. Dokumen di ambil terburu-buru dan bergegas mengunci pintu lalu turun tanpa menoleh.

Didalam dingin kereta, akalnya kembali memikirkan kewajaran. Apa yang dilihatnya bermain pantas didalam kepala - pintu terkunci, tv terpasang, kipas berputar laju, dua gelas air, sepinggan keropok goreng, pancuran air, tubuh lelaki asing tidak berbaju dan temannya yang perempuan itu. Dirinya berfikir mencantumkan kemungkinan yang timbul bila seorang lelaki berada di rumah yang bukan muhrim.

Ya, apakah kemungkinannya?

Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...