Selasa, Mac 06, 2007

Kisah di sebalik kuah kari yang cair

Ahad dua minggu yang lalu, kami dapat nasi bungkus percuma. Bukan untuk kami sebenarnya. Ketika itu kami sedang beramai berjalan menuju ke cafe untuk mengisi perut pada tengahari yang terik memanah bumi. Melewati meja yang dipenuhi nasi bungkus, kami dipanggil, lalu dengan gembira kami bawa nasi itu untuk santapan kami sebelas orang.

Sebaik suapan pertama mencecah tekak, wajah gembira yang terpancar tadi tiba-tiba bertukar kerutan. Masing-masing saling berpandangan. Ada yang berhenti, ada yang sambung menyuap. Ada juga yang senyum sinis.

“Tak rasa apa-apa ke makan nasi tu?” Satu soalan tidak puas hati keluar. Saya senyum. Mulut lancar saja mengunyah. Kawan saya ini menyoal dengan muka berkerut sambil menggelengkan kepalanya tanda tidak percaya.

Dia menyambung rungutan. “Karinya bukan sahaja cair, tetapi tiada rasa. Tawar.” Dia sudah menghentikan suapan dan meletakkan nasinya ke tepi.

“Mungkin kehabisan garam,” satu suara menambah. Dan suara itu kelihatan terkulat-kulat menyuap nasi sedikit demi sedikit sambil memainkan nasi dalam bungkusan polistrene putih itu.

“Kenapa makan bagai tiada perasaan?” Suara yang pertama tadi menegur lagi. Saya senyum sahaja. Memang tekak rasa tidak sedap, tetapi saya bukannya jenis memilih. Apa yang ada saya makan. Apa sahaja rasanya saya telan.

“Jangan kutuk makanan. Telan sahajalah,” saya berkata sambil menelan nasi dengan bersungguh-sungguh seperti tiada apa-apa yang berlaku.

“Ini rezeki kita hari ini. Dapat nasi percuma, beginilah rasanya. Kalau nak yang sedap, pergilah beli,” saya cuba membidas.

Saya terasa sungguh bila mereka mengeji makanan. Mengapa tidak diikut perangai Nabi, tinggalkan jika tidak suka. Bukannya dicaci maki. Lagipun, tiada siapa yang rugi kerana nasi ini percuma sahaja.

“Hmm.. macam makan nasi dituang air kosong. Lebih elok kalau di tuang air mangga ini ke dalam nasi,” suara tadi menyambung rungutan sambil menyedut air jus mangga ais di tangannya.

“Tak baiklah. Jangan kutuk makanan,” saya menyambung lagi. “Ini pun dah kira rezeki dapat makanan percuma, bersyukurlah.’

Saya makan hingga habis sebungkus nasi. Mereka pula setakat makan separuh. Ada yang sekadar dua tiga suapan. Karinya cuma kuah kosong, cair dan tidak ada rasa. Mujurlah ayam gorengnya punya rasa masin yang sedikit, jadi rasa masin ayam itulah yang membantu saya menelan nasi yang tawar tanpa rasa itu. Sayur kobis gorengnya cuma ada beberapa ulas.

“Inilah yang dinamakan amanah,” saya cuba membuat kesimpulan. “Mereka diberi bayaran untuk sediakan makanan, tetapi sediakan ala kadar. Selebihnya masuk poket sendiri,” kata saya sambil merujuk kepada program yang dianjurkan.

“Mereka ini sudah pasti dapat kontrak membekalkan nasi untuk program seperti ini. Kalau nak diikutkan sebungkus makanan macam ni, kosnya dalam RM 3.00. Tetapi saya pasti, sebut harganya berbeza dan lebih banyak dari harga yang diberi. Setidak-tidaknya RM 10.00 untuk sekali makan bersama air dan juga buah sebagai pencuci mulut,” saya membuat konklusi sendiri.

“Inilah cara orang berniaga. Amanah diketepikan, tanggungjawab dibiarkan. Yang penting bagi mereka ialah duit dan keuntungan besar yang mereka boleh dapat hasil dari satu usaha yang sedikit,” saya menyambung menyampaikan tazkirah pendek pada tengahari yang panas kepada mereka yang kepanasan juga.

Saya tidak mahu menunjuk atau merujuk kepada sesiapa. Nasi bungkus itu adalah dari satu program besar yang dianjurkan di situ. Saya pasti mereka menerima habuan yang banyak, dan nasi itu adalah hasil dari kerakusan manusia yang mengejarkan wang demi kebahagiaan hidup didunia.

Saya kecewa kerana mereka tidak membalas kepercayaan yang diberi dan membiarkan mereka yang diluar menerima padahnya. Apakah ini caranya kita memikul tanggungjawab dan melupakan janji yang ditaburi sewaktu berusaha mendapatkan kontrak seperti itu.

Saya tidak perlu melihat jauh. Sekarang, banyak syarikat yang bersikap seperti ini dan tidak berlaku adil. Melobi untuk mendapatkan kontrak dan tender, kemudian khidmat yang diberi tidak seperti yang diharapkan. Mereka terima duit yang banyak tetapi tidak menyampaikan apa yang patut diberi. Jika beginilah sikap yang ada pada kebanyakan syarikat, kesannya diterima oleh orang seperti kita yang menerima risiko yang bukan sedikit.

Kita boleh rujuk kepada menu yang kurang khasiat di kantin sekolah, bancuhan pasir yang lebih banyak dari simen di kawasan pembinaan, kawalan keselamatan yang longgar di premis perniagaan, atau projek yang tergendala di pertengahan jalan. Lalu terdengarlah kisah sekolah tidak siap, makmal sekolah runtuh, rumah yang retak, jejambat yang goyang dan sebagainya. Inilah akibat jika duit lebih banyak masuk ke poket lalu menghasilkan perkhidmatan yang tidak baik dan cekap. Mereka ini boleh dianggap sebagai pengkhianat.

Itu semua berkait rapat dengan tanggungjawab. Di saat semua manusia mengejar wang, tidakkah mereka terfikir akan pengakhirnya perjalanan hidup mereka?

~BC~
27 Feb 2007

Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...