Sabtu, Mei 26, 2007

Platform

"Kita jadikan kerja kita sekarang sebagai platform," si A menghembuskan asap rokoknya ke kanan, bagi mengelak asap berlari ke mukanya, yang duduk di sisi kiri. Dia sudah berkali memberi amaran supaya tidak dihembuskan asap ke mukanya, atas alasan tidak mahu pendek umur.

"Platform? Apa maksud kau?" dia dengan rakus meratakan ABC yang tinggi menggunung. Menyedut, lalu diratakan lagi.

Si A menyedut lagi asap sambil cuba mencari analogi mudah.

"Macam orang memancing. Tujuannya ialah mendapatkan ikan." Dia berhenti menyedut kopi ais yang kekurangan ais.

"Kita juga memancing untuk dapatkan ikan, tapi bukan untuk makan," sambungnya.

"Kita memancing, tetapi ikan yang kita tangkap itu kita campakkan ke kolam sebelah. Macam-macam jenis ikan ada di situ. Kemudian kita besarkan, jadikan kolam memancing yang cantik. Kemudian bina taman permainan kanak-kanak di sebelahnya, atau restoran di sudut lain. Kemudian beli tanah dan buat lagi kolam pancing ikan, kemudian bina rumah dan sewakan. Kemudian buat kondominium, beli rumah kedai, besar dan besarkan lagi bisnes...."

Si A mengesat peluh yang mencurah. Nampak bersemangat dan teruja. Dia pula memandang dengan mata terbeliak.

"Oh, itu maksud platform rupanya..."

Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...