Isnin, Mei 28, 2007

Buku : Cinta Hari-Hari Rusuhan 2

Cinta Hari-Hari Rusuhan sarat dengan kisah perjuangan mahasiswa di zaman 70-an. Sambil membaca, saya membayangkan watak-watak hidup dihadapan mata dengan semangat berkobar-kobar membantu golongan marhaen yang tertindas atas nama pembangunan dan rakus sang kapitalis. Mahasiswa memainkan peranan penting dan menjadi agen perubah. Mereka menyedarkan masyarakat tentang sesuatu isu, berdemonstrasi dan berkumpul dengan harapan suara dan permintaan mereka mendapat perhatian.
 
Berdemonstrasi dan berkumpul bukan jalan mudah tetapi ia memancing prihatin dan sokongan yang bukan sedikit. Pelajar dari UM bersama dengan kepimpinan pelajar yang sealiran dari UKM, USM, ITM dan beberapa institusi lain bergabung tenaga. Perjuangan mereka mengingatkan saya kepada zaman Reformasi hampir 10 tahun lalu. Oleh kerana turut sama terlibat, maka saya dapat melihat betapa anak muda yang penuh semangat ini berkobar-kobar menyatakan hasrat dan prinsip terhadap isu yang diperjuangkan. 
 
Lalu Jalan Pantai Baru, Jalan Bangsar, Jalan Travers, Padang Kelab Selangor dan Masjid Negara menjadi saksi kebangkitan. Laungan dan sorakan bercampur FRU, polis dan air pemedih mata. Ada yang ditangkap, ada yang meloloskan diri. Tetapi tiada seorang pun yang terlepas, kecuali Basri yang lari dari Kuala Lumpur ke Singapura kemudian ke Batam dan Sydney, menuju ke Paris dan langsung ke kota London.

Dua puluh tahun dia disitu. Ada cinta yang pergi, ada hati yang dibenci. Janji yang diikat terkubur oleh zaman. Basri dan Tengku Valizah masing-masing memendam rasa. Pengakhirnya tiada siapa yang salah, tetapi Basariah bukanlah seorang pengkhianat dan cuba menghubungkan dua kasih yang terpisah jauh.

Secara ringkas, Cinta Hari-Hari Rusuhan adalah kisah cinta pada hari-hari rusuhan. Selebihnya, bacalah sendiri. Tiada satu perkataan yang saya tinggalkan kerana setiap kata mengundang debar untuk saya meneruskan bacaan hingga ke noktah terakhir. Usai membaca, saya membandingkan 1974 dengan 1999. Dua zaman terpisah, dua dekad berlalu tetapi prinsip dan perjuangan tetap sama. Api 1974 cuba disemarakkan pada 1999 tetapi AUKU menekan dan menghalang. Mulut di tutup, tangan di ikat, kaki di halang. Suara tidak kedengaran. Akhirnya mahasiswa menjadi lesu.

Seperti kata FT dalam novel ini:
“Tiada siapa menyangka universiti akan kehilangan autonominya nanti”

2 ulasan:

Unknown berkata...

Norzaiti;

Buku ini, yang paling hampir menggambarkan perlakuan dan aspirasi mahasiswa angkatan 70-an, yang mana angkatan 90-an dan ribuan, hanya boleh berangan-angan,sebab sesat dalam percaturan orang lain.

Selain CHR, 'di bumu mana' karya Suratman Markasan (DBP) padat juga tentang perjuangan mahasiswa. watakn senja dan subuh, selain penuh dengan kiasan dan realiti. Cubalah!

-Ras raka-

Rebecca Ilham berkata...

Ini karya FT yang paling banyak kali saya ulang baca.
Setiap kali baca, pasti saya tersentuh. Alangkah berbezanya ideologi mahasiswa hari ini! (termasuk saya)

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...