Sabtu, Februari 20, 2010

Dua ratus hari dan langit tanpa awan

Seorang teman yang amat saya kagumi ilmunya menziarahi saya di pejabat. Amat berbesar hati menerima kedatangannya. Mujurlah ruang kerja dalam keadaan terurus, manakala kondisi saya dalam jurus yang amat selesa bagi menerima tetamu dan berbual mesra.

Setengah jam cuma masa terluang. Banyak yang saya tanya, banyak yang dia jawab. Ada dua yang ingin saya coretkan.

Satu
Katanya, orang seperti di negara Jepun dan Indonesia bekerja lebih cepat dan pantas. Saya mengerutkan dahi kehairanan. Kalau Jepun saya percaya, tetapi memasukkan Indonesia kedalam senarai ini agak menghairankan

"Kenapa?" saya bertanya.

"Kerana rakyat Malaysia ada 365 hari bekerja dalam setahun sedangkan orang Jepun, orang Indonesia bekerja purata 200 hari setahun. Selebihnya mereka harus bersedia dengan bencana alam seperti gempa bumi, gunung berapi atau ribut taufan. Sama seperti negara-negara lain yang sering ditimpa bencana alam."

Saya tercengang mendengar fakta ini. Ada benarnya juga. Laut fikir saya mula mencongak. Alangkah bagus jika rakyat Malaysia berfikiran sedemikian - bekerja keras untuk dua ratus hari dan selebihnya untuk cuti umum (yang dikatakan banyak), cuti sakit, cuti bersalin (termasuk kaum bapa), cuti kecemasan, cuti tahunan. Kita juga ada bencana seperti banjir di musim tengkujuh (pantai timur) dan banjir kilat (di ibukota), juga ribut taufan yang tidaklah terlalu dahsyat jika dibandingkan dengan jiran tetangga. Maka, kita harus betulkan juga jumlah hari dalam setahun supaya tidak terlalu banyak selepas ditolak perkara yang tidak perlu. Jika tidak, produktiviti kita selama 365 hari tidak sebagus mereka yang bekerja 200 hari setahun.

Harus ada usaha membuka paradigma baru supaya tidak terus terperangkap dengan ilusi 365 hari. Berani?


Dua
Cuaca panas yang melanda saat ini amat merimaskan. Saya sering diserang sakit kepala menentang matahari yang amat terik memancar. Lantas, mengurungkan diri di dalam pejabat selama lapan jam adalah jalan terbaik.

Saya bercerita tentang cuaca di Jakarta yang amat berbeza. Kata saya, biarpun nampak terik, namun tidak setitik pun peluh mencurah pada badan sedangkan sudah separuh hari berjalan kaki di sekitar kota. Sangat berbeza dengan kita disini.

Saya tahu dia boleh menghujahkan sesuatu tentang ini berdasarkan latarbelakangnya yang kuat tentang sains. Nyata dia tidak menghampakan. "Itu berlaku kerana langit." Dia membalas pendek. Saya segera mendongak. Biru. Apa bezanya?

"Langit kita ada awan, langit dia pastinya kurang atau mungkin tiada awan."

"Apa kaitannya?" Saya kehairanan lagi.

"Langit kita berawan. Oleh itu, cahaya matahari tidak terus menyejat peluh pada badan menyebabkan kita sentiasa basah dengan peluh. Disana, langitnya tidak berawan lalu peluh mudah diserap."

Saya terfikir panjang. Pada mulanya saya beranggapan bahawa ia adalah kerana kita beriklim khatulistiwa - panas dan lembab sepanjang tahun. Ia menjadikan kita berpeluh tetap tidak mengeringkan. Keadaan ini ditambah lagi dengan sumber air di negara kita yang melimpah banyaknya menjadikan kita senang untuk mandi lebih daripada dua kali sehari bagi membuang rasa tidak selesa dek peluh.

Lalu saya membayangkan ini - lokasi Jakarta yang terletak di selatan Malaysia dan bukan beriklim khatulistiwa. Mungkin cuacanya panas dan kering, lalu menjadikan kita kurang berpeluh (mungkin kerana saya tidak pasti, sekadar mengagak). Ini amat saya akui, satu pengalaman yang amat berbeza apabila mampu berjalan dan mengembara tanpa peluh yang membasahi badan. Oleh itu, perasaan untuk mandi lebih dari dua kali sehari kurang terasa, namun oleh kerana sudah menjadi kebiasaan maka ia perlu dilaksanakan bagi membuang rasa pelik mandi hanya sekali.

Saya teringat ketika berada di kuliah, berada disamping teman dari tanah Afrika dan Arab. Oleh kerana negara mereka beriklim panas dan kering dan sumber air yang terhad, maka mereka kurang mandi. Ini tidak bermakna mereka tidak menjaga kebersihan diri tetapi memperuntukkan air kepada perkara yang wajib dan perlu. Namun begitu, apabila berada dinegara ini, lain pula jadinya. Kebiasaan kita mandi banyak kali dalam sehari mengundang rasa pelik mereka, lalu untuk membiasakan diri dengan negara mewah air terasa agak janggal. Tidak hairanlah jika berpapasan dengan brother atau sister, bau pewangi yang amat kuat menyengat batang hidung. Maka fahamlah kami yang mereka ini menyembur pewangi bagi membuang bau yang tidak perlu dan masih tidak mampu menyerap budaya mandi lebih dari sekali.

Apabila berita di kaca tv memberitahu masalah air yang melanda sesetengah negeri sehingga mengundang tengkar dan perbalahan merebut lori tangki, ia segera membawa ingatan saya kepada teman dari tanah Afrika dan Arab. Kita beri nikmat air yang melimpah dan sesekali diduga begini nampaknya benar-benar menguji sabar dan erti bersyukur.

Nikmat ini cuma ditarik seketika, maka janganlah bergocoh hanya kerana lori tangki lambat sampai.

Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...