Rabu, Februari 03, 2010

Buku : Meniti Jalan Hadapan


Wajah Dr. Afnan Aziz di majalah seakan-akan memanggilnya. Dia menyelak semula halaman yang ditutupnya. Soalan wartawan itu hampir sama dengan soalan daripada seorang tetamu yang menghadiri Forum Rasuah dan Integriti.

“Boleh Dr. Afnan jelaskan lebih lanjut maksud rasuah kepada kami?”

Dr Afnan mencapai mikrofon lalu mengucapkan terima kasih kepada tetamu berkenaan.

“Dr Amir Ab Aziz dalam kitabnya Fiqh al-Kitab wa as-Sunnah berkata, rasuah ialah hadiah, sogokan, atau suapan berupa harta benda yang sama ada dimakan atau dipergunakan manusia secara salah. Rasuah diberikan dengan syarat diperlu dibalas dengan pertolongan. Katanya lagi, rasuah juga ialah apa yang diberikan seseorang kepada hakim atau gabenor atau pegawai supaya setiap keputusan yang dibuat berpihak kepada dirinya, demi kebaikan dirinya.

“Imam Abu Hanifah ada berkata, apabila seseorang hakim menerima rasuah, maka jawatannya akan gugur dengan serta merta sekalipun dia tidak disingkirkan dan segala hukuman yang dijalankan selepas itu terbatal dengan sendirinya atau dengan kata lain, kemampuan peribadinya tidak lagi dipercayai.”

Dewan menjadi hingar-bingar. Mungkin menyetujui kata-kata Dr. Afnan Aziz. Kemudian dia menyambung. “Ibnu Qudamah berkata perantara dalam rasuah adalah orang yang melakukan sebesar-besar kezaliman. Orang inilah yang memainan peranan di antara penyuap dan pemakan suap bagi menjatuhkan hukuman tanpa hak atau mengganggu keputusan.”

Dr. Afnan berhenti seketika.

“Saya ingin membacakan sepotong ayat dari Surah al-Maai’dah, ayat 42.”

Hadirin merasa tenang rasa mendengar Dr. Afnan melagukan ayat tersebut.

“Maksudnya, Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya). Oleh itu, kalau mereka datang kepadamu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari mereka; dan kalau engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu sedikitpun; dan jika engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka dengan adil; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil)’ ”

Insyirah meletakkan majalah. Dia menuju ke meja, mengambil sebuah buku nota yang baru dikeluarkan dari stor petang semalam.

Dalam catatan kuliyyah, dia membaca tulisan sendiri yang kurang jelas. ‘Pengertian rasuah menurut Dr Abdullah at Tariqiy dalam kitabnya Jariimah ar-Raywah Fii as-Syariiah al-Islamiyyah. Dia memberikan tujuh maksud.’

‘Pertama, rasuah ialah pemberian bersyarat untuk mendapatkan pertolongan. Kedua, pemberian yang diberikan sesudah sesuatu pertolongan disempurnakan. Ketiga, hadiah yang jelas haram tanpa sebarang tiada dalil syarak sama ada al-Quran, as-Sunnah dan Ijmak. Keempat, perhubungan yang menghasilkan kepentingan secara salah.’

Insyirah mengesat bahagian yang tertutup dengan habuk. Hidungnya menangkap habuk yang berterbangan. Terasa seperti mahu bersin.

‘Kelima, pemberian untuk memalsukan hak yang sebenar atau menetapkan hak yang palsu. Keenam, pemberian kepada hakim agar dijatuhkan hukuman yang berbeza dari yang sebenar atau pemberian untuk memperolehi sesuatu kekuasan juga bagi menzalimi seseorang. Ketujuh, pemberian kepada hakim atau lainnya agar hukuman berpihak kepadanya atau pemberian yang juga memihak kepada dirinya. A gift in favour of him.’
Insyirah berhenti membaca. Dia memandang ke tafsir al-Quran pimpinan al-Rahman. Sewaktu mencari-cari nota lama di dalam timbunan kotak semalam, dia menemui satu kertas kerja kajian pemberian Dr Afnan. Di dalamnya terdapat banyak ambilan daripada al-Quran dan hadis. Dia mencapai tafsir dan membuka bahagian yang telah ditandai.

“Jenayah rasuah adalah satu tegahan agama. Allah berfirman dalam Surah al-Baqarah, ayat 188 yang bermaksud, ‘Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim- hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)’”.
Dr. Afnan menanggalkan kacamata bundarnya lalu menggosok mata yang kepenatan menentang sinar cahaya lampu yanng terang. Insyirah, Syahran dan Wan Hazriah menanti penuh sabar.

“Maksud ‘makan’ dalam ayat ini ialah mengambil dan menggunakan untuk kepentingan peribadi biarpun ia diberi dan diterima secara suka-suka atau penuh redha. Ayat ini sekaligus melarang kita mengambil harta orang lain dengan cara merasuah para hakim, pegawai, pemerintah atau penjawat awam. Sekaligus, ia diharamkan.

"Ibnu Atiyyah memberi gambaran bahawa pekeraan para hakim sentiasa terdedah kepada rasuah dan cuma segelintir sahaja yang dipelihara oleh Allah. Bukankah Nabi sendiri pernah berkata bahawa dua per tiga hakim ditempatkan di neraka, hanya satu per tiga sahaja duduknya di syurga.”

“Bagaimana pula tentang hukuman?” Syahran pula mengambil giliran bertanya.

Dr Afnan memandang ke arah Syahran sebelum mengalihkan pandangan ke siling, seolah-olah memikirkan sesuatu.

“Sebelum menjatuhkan hukuman, kita mesti tahu ada tiga rukun atau perkara yang perlu diambil kira. Pertama, si pemberi rasuah, iaitu orang yang memberi sesuatu atau manfaat seperti wang kepada seseorang pegawai bagi memastikan dia memperoleh apa yang dimintanya bagi merugikan orang lain. Kedua, si penerima rasuah, iaitu pegawai yang menerima sesuatu, misalnya wang tadi bagi menunaikan hajat si pemberi dengan pelbagai cara bagi menghentikan sesuatu bagi kepentingan tersebut. Dan yang ketiga, bahan rasuah iaitu apa-apa harta atau manfaat seperti wang, hadiah yang dimakan atau digunakan bagi melaksanakan kepentingan si pemberi rasuah.

“Dalam proses menetapkan kesalahan rasuah, ada tiga perkara yang perlu diambil kira, iaitu saksi, pertuduhan ke atas dirinya, dan bukti nyata.”

Meniti Jalan Hadapan, ms 97 - 102.

Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...