Jumaat, Februari 19, 2010

Zina

“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” (Surah Al Isra’ 17:32)

Pagi selasa 16 Februari, ketika Malaysia masih ramai dalam demam Tahun Baru Cina dan cuti umum, MHI memaparkan satu topik perbincangan menarik langsung menyebabkan saya yang bekerja pada pagi itu terpanggil untuk duduk dan mendengar isu yang dibincangkan secara tuntas. Wardina dan Ketua Wanita JIM, Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj membincarakan isu zina yang berlanjutan dari kes pembakaran bayi di Kelantan baru-baru ini. Saya menyimpulkan perbincangan mereka seperti berikut:

1. Kita perlu menyebutnya sebagai ZINA, bukan hubungan luar nikah, bukan perhubungan bebas, bukan seks rambang, bukan terlanjur. Perkataan zina itu adalah yang sebenarnya. Bila ia ditukar dengan kata yang lebih lembut, ia membawa stigma yang kurang disedari implikasi dan dosa, sekaligus menyebabkan ia seolah menjadi satu perlakuan yang tidak salah dari segi agama dan moral. Saya teringatkan isu perkataan babi dan khinzir suatu ketika dahulu

2. Islam menekankan konsep amar ma’ruf nahi mungkar, iaitu pencegahan yang merupakan titik tolak kepada segala kebaikan. Setiap perkara harus dicegah sebelum melarat dan kesedaran harus ambil peduli bagi menghalang segala perlakuan diluar kawal ini daripada terus berleluasa

3. Bagi menangani kes ‘terlanjur’ maka JIM menubuhkan Raudatus Sakinah iaitu rumah perlindungan yang menempatkan anak gadis yang telah berzina dan mempunyai anak. Mereka bukan sekadar diberi tempat tinggal dan perlindungan, tetapi juga di beri latihan dan pendidikan agama supaya mampu menjadi pendinding diri sebelum melangkah keluar sekaligus menjadi antara ejen pencegah dalam kalangan masyarakat berdasarkan pengalaman gelap lampau

4. Kempen berterusan harus dilaksanakan oleh agensi kerajaan, NGO dan swasta bagi menyebarluaskan kesan agama dan moral akibat dari perlakuan zina dan pembuangan bayi. Media juga tidak harus putus dengan pendedahan dan berita bagi menyedarkan dan memberitahu masyarakat akan bahaya gejala ini

5. Program dan kempen menyeluruh harus dilaksanakan oleh pelbagai pihak dengan melibatkan semua warganegara bagi membendung kegiatan tidak sihat ini sejak akar umbi. Mereka perlu dimaklumkan implikasi dari segi moral, etika dan agama bagi memperlihatkan kedua-dua aktiviti ini bukanlah satu amalan yang baik dan berakhlak

6. Ramai yang memandang rendah akan perkara ‘kecil’ seperti berpegangan tangan antara bukan muhrim, pergaulan bebas, pasangan bercinta tanpa batasan sedangkan itu adalah permulaan kepada kepada perkara yang diluar kawal yang melibatkan nafsu dan keinginan terhadap seks. Oleh itu pendedahan akan kesan daripada perlakuan ini harus dimaklumkan kepada umum dengan mengambil kira batas sosial sesama teruna dara

7. Bapa harus dianggap sebagai model dan contoh yang baik bagi anak-anak. Bapa haruslah menjadi pelindung atau orang penting dalam keluarga bagi memimpin isteri dan anak-anak. Bila anak-anak melihat bapa sebagai contoh yang baik, maka mereka tidak akan mencari lelaki lain yang lebih baik daripada bapa mereka dan akan sentiasa melihat bapa mereka sebagai seorang lelaki ideal. Mereka akan mencari lelaki yang akan terus menjadi suami tanpa perlu melalui fasa percintaan dan pencarian yang terlalu lama sehingga boleh mengundang perkara yang tidak diingini

8. Setiap NGO di Malaysia harus bersatu bagi memberi kesedaran untuk membanteras zina dan kes pembuangan bayi supaya ia tidak menjadi barah yang menakutkan dan berterusan dilakukan oleh mereka yang terdesak.

9. Terdapat cadangan terhadap penzina agar diberi kemudahan untuk menggugurkan bayi dalam kandungan bagi mengelakkan ia dibuang apabila dilahirkan. Namun keadaan ini dikatakan akan menggalakan lagi perlakuan zina dan tidak mencegah ia daripada berleluasa. Isu ini melibatkan sentimen agama dan moral. Ada kesan baik, ada kean buruk

10. Jadi secara keseluruhan, ada dua perkara penting. Pertama, amar ma’ruf nahi mungkar iaitu mencegah dan menghambat perlakuan zina dan pembuangan bayi secara besar-besaran serta kesannya terhadap diri dan masyarakat. Kedua, peranan berterusan oleh agensi kerajaan, NGO dan swasta yang dilaksanakan secara berterusan dan bukan bermusim.

Entah apa yang harus dikata kepada insan yang rela meninggalkan bayi, membuangnya di tepi jalan atau longkang, apatah lagi membakarnya (entahkan hidup entahkan mati saat itu). Sudah hilangkah perikemanusiaan kalian sebagai seorang manusia, dan membiarkan nyawa yang baru melihat dunia itu terkapar-kapar menagih kehidupan?

“Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya.” (Surah Furqan 25:68)



2 ulasan:

ASaL berkata...

Saya suka untuk libatkan diri dengan perbincangan ini. Komen ikut susunan wacana:
1. Kaedah Attasian (geng sosialis kanan selalu promosi keadah ini). Menggunakan terma yang tepat dan betul boleh menggambarkan berat. Perkataan 'Zina' super berat bagi pendengar, apatah lagi bagi mereka yang melakukannya. Bila guna perkataan yang tepat, kita boleh menggunakan hukum yang tepat seperti yang terkadung dalam jinayah syariah.
2. Satu saranan paling konsisten dalam Al Quran. Saya pernah membaca, antara lain doa kita tertahan adalah disebabkan oleh kurangnya kita mengamalkan amar ma'aruf dan nahi mungkar.
3. -nil-
4. -nil-
5. -nil-
6. Seperti ayat dalam Quran, La Taqrabu zina :)
7. -nil-
8. -nil-
9. Boleh cadangkan yang agak kontraversi? Kahwin kontrak. Agak-agak umum boleh setuju. Antara sebab bayi dibuang ialah status. Bayi itu dianggap bayi haram, luar nikah dsb. Jika ibu bapa mahu serahkan bayi kepada penjaga yang baik mungkin mereka akan menolak kerana keturunannya tidak baik, hasil dari perbuatan haram. Jika bayi dilahir dalam status pernikahan, mereka akan dapat menerima dengan perasaan lebih terbuka. Jadi buang bayi mungkin boleh diminimakan.
:)

Norziati Mohd Rosman berkata...

No 9 tu kalau kena dengan cara, cukup syarat dari segi fatwa dan padangan ulama, rasanya boleh diambil kira.

tapi kita ni suka berbalah sebelum memulakan sesuatu. Itu yang payahnya

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...