Sabtu, Ogos 09, 2008

Suatu skrip

Orang-orang di sekeliling saya, sering kali memberikan saya satu skrip hidup yang berbeza-beza. Skrip yang apabila ditayangkan sebagai telenovela atau soap opera, pasti mendapat rating yang tinggi, sehingga penonton mahu ia diulang tayang saban waktu seperti di siaran Astro. Pelakonnya digilai ramai kerana hebat membawakan watak (sudah namanya pelakon!). Wajah tersiar di akhbar dan majalah. Kehidupan sentiasa di ekori. Penonton malah tidak sabar menanti episod berikutnya. Mereka pula berteka-teki akan kesudahan episod.

Saya banyak melihat mereka bukan sebagai apa yang mereka ada, tetapi mereka sebagai seorang manusia.

M-a-n-u-s-i-a.

Sehingga menyebabkan setiap kali sebelum tidur, saya memuhasabah diri memikirkan betapa untungnya saya hidup dalam satu skrip yang baik, yang mengikut aturan hidup yang betul. Betul mengikut susunan A hingga Z, bukannya tunggang terbalik.

(Cuma cabaran waktu kecil yang memang menduga itu telah saya lepaskan jauh-jauh kerana ia adalah suatu...errmm... proses hidup.)

Banyak skrip, ramai pelakon utama, beribu pelakon tambahan. Namun lokasinya cuma dua. Rumah dan pejabat.

Satu minggu ini saya menjadi penasihat yang baik, pendengar yang setia. Mengeluarkan segala ilmu yang tersimpan sekian lama, memotivasi tentang hidup, menggunakan pendekatan psikologi bagi menyimpulkan segala kemusykilan. Berbakul-bakul nasihat, berjam-jam di meja tulis, bergelas-gelas air. Ada airmata, ada sumpah seranah, ada caci maki. Semua terhambur keluar tanpa sebarang tapisan.

Lumrah manusia bila dah tak suka, yang buruk sahaja dilihat. Satu titik hitam di atas sehelai kertas nan putih, yang dapat dilihat titik hitam yang kecil itu sahaja. Yang putih tenggelam. Begitulah cara mereka memandang hidup.

Namun kurangnya pada mereka ini hanyalah satu. Mereka melarikan diri dari Tuhan. Itu kesimpulan awal. Jadi, apabila dengan sengaja menyingkirkan Tuhan - yang menjadikan diri mereka, yang menentukan hala hidup, yang sepatutnya menjadi tempat untuk disandarkan – menyebabkan perjalanan yang lurus menjadi bengkang bengkok.


.

Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...