Rabu, Ogos 13, 2008

Buku : Meniti Lautan Gelora - Sebuah Memoir Politik Oleh Said Zahari

Meniti Lautan Gelora: Sebuah Memoir Politik Oleh Said Zahari

Hakikat sebuah perjuangan memerlukan pengorbanan yang biasanya bukan sedikit. Pengorbanan terhadap diri sendiri, keluarga, masyarakat malah pendirian diri. Selalu apa yang diperjuangkan itu tidak di terima, di tolak juga di ketepikan. Yang cekal dan tabah, melaluinya dengan penuh kesabaran. Yang tidak, akan jatuh kecundang lalu parah dalam perjalananan. Tidak ramai yang boleh bertahan dalam memperjuangkan prinsip dan pendirian, tidak ramai juga yang memahami mengapa mereka bermati-matian melawan keadaan dan persekitaran.

Dalam hal ini, saya salut kepada penulis buku ini, Pak Said Zahari, sepertimana sajak yang ditulis oleh Usman Awang khusus untuknya. 17 tahun hidup ditahan dari satu kurungan ke satu penjara yang lain, mengira bilakah hari akan dibebaskan, melihat anak membesar bukan dihadapan mata, menahan caci maki dan fitnah pemerintah juga masyarakat serta kerenah birokrasi yang tidak mengerti hakikat kehidupan seorang pejuang. Siapa yang benar-benar boleh bertahan 17 tahun hidup dikurung?

Saya akui agak lewat membaca memoir ini. Tetapi, jujur ingin saya katakan, saya tidak mengenali siapa Said Zahari sehinggalah memoir ini diterbitkan, diikuti beberapa memoir yang berikutnya. Membaca dari halaman ke halaman, semua ceritanya begitu mendebarkan, memaksa saya menelan fakta dalam keterpaksaan dan menerima maklumat baru yang selama ini terlindung atau sengaja disembunyikan dari pandangan umum.

Ini sememangnya sebuah memoir politik, catatan dari riwayat hidup Malaya kemudian Malaysia juga Singapura menuju kemerdekaan, propaganda dan konspirasi, arus kebangkitan komunis dan perjuangan terhadap mempertahankan prinsip dan keyakinan. Dengan kata mudah, Memoir ini adalah biografinya, tetapi penglibatan Pak Said dalam bidang kewartawanan telah membawanya jauh melampaui tugasnya itu, menjadikan wartwan sebagai profesyen yang amat merbahaya ketika itu. Tulisan mereka benar-benar difahami rakyat, dibaca dengan penuh semangat, membakar jiwa dan harapan, membentuk pemikiran rakyat sekaligus menyebabkan kerajaan panas punggung dan merasa tercabar berkali-kali.

Said Zahari, bagi yang tidak mengenali ialah Pengarang Utusan Melayu pada penghujung tahun 50-an. Tahun-tahun dimana beliau menjadi Pengarang, adalah tahun–tahun yang rusuh. Pelbagai peristiwa tercatat dalam sejarah, dan Pak Said adalah insan yang terpilih terlibat secara langsung dalam peristiwa ini. Penangkapan Tan Sri A Samad Ismail, mogok Utusan (yang akhirnya saya fahami dengan jelas), isu-isu pertanian yang cuba ditegakkan (seperti Hamid Tuah dan baja urea), isu politik antarabangsa (Irian Jaya, Amerika juga Cuba) Lee Kuan Yew vs Tunku Abdul Rahman, cabaran politik berhaluan kiri, konspirasi komunis dan Chin Peng, diharamkan memasuki Malaya oleh Tunku, Gagasan Malaysia dan kemerdekaan, sikap antipenjajah dan semangat kemerdekaan, dan turut menyentuh peribadi para pemimpin negara yang tidak pernah di bicarakan secara langsung, kalau boleh secara berterus terang seperti ini, yang kebanyakan mereka telah lama menghuni alam barzah.

Memoir yang mencatatkan kisah hidup Pak Said sejak kecil (mengingatkan saya kepada Pak Samad juga – ketika pendudukan Jepun dan kembalinya BMA ke Malaya), cita-citanya juga bagaimana Utusan boleh menjadi sebahagian dari dirinya, kerjaya di Utusan, penglibatan dalam politik sehinggalah di tahan dan dibebaskan. Banyak perkara diterangkan satu persatu dengan jelas, serta memberi kefahaman kepada saya tentang banyak perkara yang tidak terjawab, yang tidak dapat saya cari walau dimana-mana sumber sebelum ini (siapa yang berani menyentuh peribadi pemimpin negara atau menjentik sikap mereka sedalam-dalamnya?).

Seperkara yang amat saya hormati dalam Memoir ini ialah keterbukaan Pak Said menceritakan satu persatu peristiwa sehingga menelanjang bulatkan (jika saya boleh guna perkatan ini) para pemimpin negara. Cita-cita politik mereka, mainan politik, keraguan dan keyakinan, penindasan dan tekanan kolonial terserlah. Masing-masing cuba memuaskan hati pihak yang lain, sehingga tidak sedar telah menggadaikan maruah masyarakat dan bangsa yang ketika itu dalam proses kemerdekaan. Sehingga akhirnya, wartawan tidak lagi dianggap sebagai ajen perubah, tetapi sekadar pelapor kepada peristiwa dan terikat oleh suasana dan undang-undang yang mencengkam.

Memoir ini menjawab persoalan Pak Said yang dilabel komunis oleh Lee Kuan Yew sekaligus disumbat tanpa bicara selama 17 tahun. Tetapi ia lebih dari itu. Pak Said boleh dikatakan antara orang yang melihat Malaya, Malaysia dan Singapura membesar dan merdeka, dikelilingi dengan konspirasi kolonial, komunis dan jatidiri pribumi. Menjadi orang yang terlibat secara langsung terhadap sejarah yang telah tertulis dan cuba dipadamkan kebenarannya, saya benar-benar memahami perjuangan Pak Said. Salut untuk Pak Said, seperti sajak oleh Usman Awang – Salut Untuk Said Zahari.

.

Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...