Sabtu, Ogos 09, 2008

Buku : Kapten Hassan - Wira Bangsa

Kapten Hassan: Wira Bangsa oleh Harun Johari

Umum mengetahui tentang filem Sarjan Hassan yang dilakon dan diarahkan oleh P Ramlee. Namun tidak ramai yang mengetahui ia sebenarnya diangkat dari kisah benar kehidupan seorang askar Melayu yang berkhidmat dengan penuh cemerlang, berani dan bersemangat. Namum pengakhiran hidupnya dalam perkhidmatan ketenteraan di palitkan peristiwa yang telah menutup segala sumbangannya terhadap negara, hanya kerana berusaha menjadi seorang yang menegakkan kebenaran dan keadilan.

Novel ini diterbitkan pada 1993 oleh DBP, terselit antara buku-bulu yang dilelong oleh DBP, dengan cover yang cukup buruk. Saya tidak akan beli novel ini kecuali dilelong dengan melihatkan kulitnya yang tidak langsung mengujakan. Membaca tajuknya pun sudah menjadi masalah. Tulisan berwarna hijau dilatari warna hitam. Masalah, bukan?

Novel nipis 162 mukasurat ini ibarat sebuah biografi, menceritakan dengan cermat satu persatu kehidupan Hassan bin Haji Osman sejak dari kecil sehinggalah penglibatannya ke dalam askar. Anak jati Negeri Sembilan ini mendapat didikan agama yang kuat, dihantar ke sekolah pondok sehinggalah pengajiannya terhenti akibat pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Seperkara yang menarik, beliau belajar agama di Negeri Sembilan juga (di dalam negara), bukannya menuntut di Indonesia atau mengembara hingga ke Mekah seperti mana yang sering berlaku ketika itu. Lalu, boleh dikatakan bahawa Kapten Hassan adalah produk tempatan yang asli.

Keadaan yang mendesak ketika pendudukan Jepun membuatkan Hassan berkahwin dengan pilihan keluarga bagi mengelakkan diri di hantar membina landasan keretapi maut. Diceritakan juga tentang gerakan Force 136, perjuangan MPAJA serta Bintang Tiga yang bermaharajalela sebelum British kembali memerintah selepas Jepun menyerah. Dalam masa 14 hari sebelum BMA kembali ke Malaya, dua peristiwa besar menimpa Hassan. Seluruh ahli keluarga Hassan termasuk isteri dan ibu mertuanya di bunuh oleh komunis yang ketika itu terdesak mencari makanan dan wang bagi meneruskan perjuangan mereka. Hassan yang tidak bersama keluaganya ketika itu merasa amat sedih. Ini diikuti penangkapan datuknya, seorang penghulu oleh Bintang Tiga. Dua peristiwa ini menyemarakkan lagi kemarahan Hassan sehingga dia berazam mahu menuntut keadilan.

Ada satu peristiwa menarik pada petang penangkapan datuknya. Hassan bersama dua saudaranya pergi ke Kg Bukit Katil menaiki basikal menuntut ilmu mempertahankan diri dan kebatinan dari seorang guru yang terkenal disana. Selepas seminggu, mereka kembali dan bersama-sama penduduk kampung, mereka berkumpul beramai-ramai di masjid berzikir. Tidak jelas apa yang mereka lakukan, tetapi tindakan ini menyebabkan komunis ditimpa ketakutan. Ada yang nampak parang terbang kearah mereka, dikuti beberapa peristiwa lain yang pelik dan menakjubkan. Datuknya dibebaskan sejurus selepas itu, hasil dari ketakutan anggota komunis.

Tindakan ini menyebabkan saya mencari buku 1515 kaya Faisal Tehrani. Tun Nyemah Mulya berjuang menentang Feringgi dengan keadaan begitu juga. Terapung di udara, terbang dari pucuk kelapa ke pucuk kelapa, tubuh kalis pluru, bantuan jin-jin Islam, memahami pengertian syahid, melompat bertingkah mengacu keris, dan macam-macam lagi sambil mulut tidak henti membaca ayat suci al Qur’an biarpun sedang menghunus keris. Andainya semua, atau sedikit dari kita seperti Nyemah Mulya, tidak tidak akan dijajah sebegitu lama. Subhanallah.

Kembali kepada novel kecil ini. Hassan kemudian memasuki dunia ketenteraan dalam pemilihan kedua. Ketika itu British sedang membangunkan angkatan tentera menggunakan tenaga anak tempatan. Pemilihan baru dilakukan selepas melihat berkurangnya anggota yang ada selepas perang. Hassan terpilih, menjalani latihan asas dan diserapkan dalam markas kompeni. Maka Hassan secara rasmi menjadi seorang askar.

Diceritakan bagaimana Hassan dengan begitu berani berdepan dengan komunis tanpa sebarang ketakutan dan keraguan. Padanya, hanya Allah yang ditakutinya. Beliau tidak meninggalkan solat biarpun didalam hutan dan sering mengepali pasukannya melakukan rondaan, mengejar komunis mahupun berdepan secara sendiri dengan komunis. Banyak cerita yang menunjukkan keberanian Hassan yang tanpa gentar menghampiri mereka biarpun dihujani peluru. Ada yang mengatakan Hassan kebal dari sebarang peluru.

Apabila melihat kembali perjuangan Nyemah Mulya, saya tidak nafikan hal ini. Kekuatan ilmu agama dalam diri membantu mereka berkeadaan sedemikian. Malah, komunis turut gerun bila mendengarkan Hassan ditugaskan ke satu-satu tempat, kerana tahu nyawa mereka pasti berakhir. Hinggakan komunis pernah mengepung rumahnya untuk menangkap dan membunuhnya tetapi gagal kerana mereka tersilap rumah biarpun segala perancangan rapi telah dilakukan. Malah, seorang anggota wanita yang cantik dihantar berpura-pura menyerah diri dan insaf dalam tahanan bagi menggoda Hassan. Komunis percaya dengan cara ini, iman Hassan akan luntur lalu melemahkan keberaniannya berjuang. Begitu takutnya mereka terhadap Hassan! Namun perkara sebaliknya berlaku. Gadis itu terpikat pula dengan sifat luhur Hassan dalam berjuang menyebabkan gadis itu mempengaruhi rakan-rakannya untuk menyerah diri, kemudian berkahwin dengan pemda pilihan. Ini merupakan satu kemenangan psikologi buat Hassan.

Keberanian Hassan ini menarik minat P Ramlee untuk mengangkat perjuangan Hassan di layar perak. Asalnya ia merupakan skrip drama pentas yang ditulis oleh Hassan sebagai hiburan ringan kepada para askar. Skrip ini lebih merupakan kepada riwayat hidupnya. Drama pentas ini mendapat sambutan hangat dan liputan media pada tahun 1955. P Ramlee tertarik lalu menghubungi Hassan, meneliti skrip lalu menyampaikan hasrat memfilemkannya. Oleh kerana ketika itu masih darurat, P Ramlee berpendapat adalah lebih baik jika skrip diubah kerana khuatir penayangannya disabotaj oleh komunis yang masih menggugat ketika itu. Filem itu kemudianya dinamakan ‘Sarjan Hassan’. Beliau diberikan sedikit sumbangan atas penayangan filem tersebut.

Ada satu peristiwa yang menarik menjelang kemerdekaan negara, yang tidak pernah diceritakan dimana-mana terbitan. Sepuluh hari sebelum menyambut kemerdekaan, Hassan yang berpangkat Leftenan ketika itu memimpin pasukannya membuat tinjauan dan pemerhatian di Ladang Getah Waterfall, Rawang. Biarpun telah diberitahu keadaan memuaskan, beliau tidak berpuas hati. Seolah-olah gerak hatinya memberitahu akan ada perkara yang tidak dijangkakan akan berlaku. Hasil strategi yang dipasang serta sikap berhati-hati terhadap intipan, tiga pengganas dibunuh. Rupa-rupanya mereka sedang merancangkan satu perbincangan dengan 35 ketua pengganas seluruh Malaya yang menyamar sebagai penoreh untuk membunuh semua pemimpin negara ketika majlis sambutan kemerdekaan. Malangnya, 35 ketua pengganas yang menyamar itu sempat melarikan diri, tambahan pula mereka menyamar sebagai penoreh getah dan langsung tidak disangka mereka adalah komunis. Jika tidak, mereka semuanya pasti mati terbunuh. Hasil tindakan ini disusuli dengan gerakan serta serbuan di daerah Rawang bagi menangkap mereka yang disyaki terlibat. Dengan itu, lumpulah rancangan komunis bagi menggagalkan sambutan hari kemerdekaan pada 31 ogos 1957.

Hassan beberapa kali dianugerahkan penghormatan kerana keberaniannya berjuang. Beliau dinaikkan pangkat satu demi satu dan menjadi terkenal dikalangan pemimpin negara. Tahap disiplin yang tinggi serta kepatuhan terhadap suuhan Allah menjadikan Hassan seorang anggota tentera yang amat digeruni. Malangnya sikap ini tidak dicontohi oleh anggota yang lain. Dia melaporkan kepada pegawai atasannya atas kelakuan seorang pegawai kanan berpangkat Mejar (yang langsung tidak disebutkan namanya) membawa seorang wanita bukan muhrim ke bilik bujang pada waktu malam. Tindakan ini memerangkap Hassan, apabila dia dipandang serong, ditukarkan lalu diarahkan bekerja dibawah pentadbiran pegawai kanan yang berpangkat mejar itu (yang menjadi ketua Kompeni) sekaligus menimbulkan pergeseran peribadi antara mereka.

Akibatnya, permohonan Hassan untuk menyambungkan perkhidmatannya ditolak oleh ketua kompeninya itu sebagai usaha membalas dendam. Sekaligus menyebabkan Hassan yang berkhidmat selama 16 tahun tidak layak menerima pencen biarpun dia masih lagi mahu berjuang. Satu pengakhiran yang cukup memalukan bagi seorang yang telah banyak berkhidmat dan berbakti kepada tanah air.

Seterusnya, Hassan berusaha memohon secara rasmi dari Tun Razak yang mengenalinya dan dipanggil berkhidmat sepenuh masa dalam Askar Wataniah berpangkat kapten. Selepas bersara, beliau menjalankan perniagaan sendiri dan aktif dalam UMNO. Beliau meninggal dunia pada 30 April 1991.

Begitulah kisah seorang pejuang yang jarang-jarang sekali dibukukan. Sayangnya, novel kecil ini di bukukan dalam keadaan yang tidak begitu menarik. Alangkah baik jika DBP berusaha menaiktarafkan novel ini menjadi sebuah biografi yang menarik bagi tatapan generasi yang tidak mengerti erti perjuangan. Tambahan pula, ia turut mengimpunkan banyak gambar kenangan Kapten Hassan dalam perkhidmatan. Gaya penulisannya juga teratur dan saya pasti terhasil dari penyelidikan yang mendalam. Semoga ada usaha berterusan kepada novel ini, supaya tidak tamat menjadi bahan lelongan sahaja.


.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

memang bagus cerita ni....... lagipun saye kena buat foilio tentang ini!!!!hehehehehehehehe............

khairul berkata...

best fgdid

Tanpa Nama berkata...

boleh x carikan gambar kapten hassan nih?

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...