Isnin, Disember 11, 2006

Nota kecil

1)
Saya menyusun perkara yang patut saya selesaikan dalam minggu ini - harus diselesaikan

+ dua cerpen yang perlu dihantar (dan telah beberapa kali di tangguhkan kerana kebekuan idea)
+ episod terbaru sebuah cerita yang perlu di e-mel (Cikgu mungkin dah bosan menunggu)
+ dua teks terjemahan yang baru saya terima petang tadi (Perlu di edit dan entah bila perlu di e-mel, tidak pula diberitahu)
+ satu kertas kerja Kursus Induksi yang sudah saya terima dua minggu yang lalu (dan selalu saya tangguh dari menyemak atau membacanya. Saya dijemput menyertai dan sudah sudah menyatakan persetujuan untuk pergi. Tetapi apa peranan saya pun, belum tahu selagi saya tidak baca kertas kerja ini)
+ kelas FA skill akan bermula Jumaat ini (Kelas di mana - saya belum pasti. Senarai pelajar pun belum tahu. Silibus saya belum semak. Malah, saya perlu studi supaya arif tentang beberapa bab kemahiran yang telah saya lupa)

Oh, itu semua bukan kerja pejabat. Semuanya kerja sambilan. Peruntukan masa hanya selepas waktu pejabat hingga larut malam.

Ada yang ringan bertanya mengapa saya harus bekerja jika yang sambilan itu boleh menampung hidup. Jawapan saya kerana saya mahu sibukkan diri dengan kerja. Usia muda dan sebatang kara (i.e belum ada ikatan, masih bujang dan bebas) memudahkan saya tumpukan kepada usaha. Ini waktu lapang yang mahu saya sibukkan, bukannya waktu sibuk yang saya tidak tahu bila pula akan datang.

Saya rasa seperti semalam, saya akan melelapkan mata diatas sofa - entah pada pukul berapa dengan lampu terbuka dan laptop yang tidak sempat di shut down. Oh!

2)
Saya menghitung hari. 31 Disember semakin hampir.

Bila saya lihat tarikh hari ini, saya perasan yang hari berputar laju.

Sebelum apa-apa, saya perlu siapkan akaun 2006. Dan 2005, 2004, 2003 2002, 2001, 2000. Juga 1999.

Kemudian saya akan ucapkan selamat tinggal

3)
Emak telefon memberitahu adik-adik yang di kampung merungut cuti sekolah tidak ke mana-mana. Mereka merancang perjalanan. Mungkin 25hb ini

Saya teringat semasa kecil. Cuti sekolah saya sekadar bertemankan nyamuk, getah sekerap, susu getah serta bau-bauan yang mencucuk hidung. Tiada istilah cuti atau makan angin atau berkelah atau berjalan-jalan.

Tetapi itu zaman saya dahulu. Zaman adik-adik saya sekarang ini, pokok getah sudah menanti masa untuk di tebang. Dan mereka tidak merasa susu getah menyiram badan atau jatuh tergolek bersama tong dan baldi dari atas bukit atau dua ekor tebuan tanah bermurah hati memberi setiap seekor dua das betul-betul diatas kepala ini.

4)
Bila saya fikir kembali, saya seolah-olah rela menjadi workaholic.

Biarlah.

Seperti yang saya katakan tadi, ini waktu lapang yang mahu saya sibukkan, bukannya waktu sibuk yang saya tidak tahu bila pula akan datang.

5)
Ingatlah lima perkara ini:
sihat sebelum sakit
muda sebelum tua
kaya sebelum miskin
lapang sebelum sempit
hidup sebelum mati




Saya mahu mulakan marathon kerja - bermula malam ini.

2 ulasan:

z'kea m.s berkata...

Zeti.. entah kenapa hati rasa tersentuh dengan entri ini. Sedari kecil yang kita tahu ialah untuk berusaha dan bekerja samada untuk menyenangkan diri sendiri atau orang lain. Hari ini aku melihat itu dalam diriku..juga melihat itu dalam dirimu. Namun kenapa ya orang lain sering menjadikan kesungguhan dan keteguhan kita berusaha dan bekerja sebagai satu kesalahan dan kesilapan, kekurangan dan kelemahan, sebagai seorang wanita sempurna.

Untuk usia sebegini...wanita bujang yang bekerjaya dan tinggi cita-cita kadangkala tidak dihargai... walaupun oleh mereka yang dikasihi.

Norziati Mohd Rosman berkata...

zkea, biarlah Allah sahaja yang nilai kesungguhan kita. Usaha sekarang, menuainya akan datang. Buat sahaja dengan ikhlas biarpun ada hati yang kurang senang dan memandang dengan ekor mata.

Kita dah sama-sama dulu bertungkus lumus, masing-masing kenal diri masing-masing. Pekakkan telinga sahaja.

Walau macamana pun, aku tahu kau macam mana. Usaha sahaja dan ingat Allah. Itulah yang aku lakukan :-)

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...